SKUAD bola sepak kebangsaan
menerima pengajaran paling bernilai apabila tewas 3-2 kepada Perak dalam
pertemuan persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Kekalahan itu seharusnya menjadi
iktibar buat skuad K. Rajagopal, yang sedang membuat persiapan untuk
mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia.
Mohd. Khairul Naib menjaringkan
gol kemenangan Perak selepas kedudukan terikat 2-2 ketika permainan berbaki
kira-kira 20 minit.
Perak mendahului dengan dua gol
menerusi penyerang dari Liberia, Frank Seator pada minit ke-53 dan 65 sebelum
pemain mereka dalam skuad kebangsaan, V. Saravanan dan Hairuddin Omar dari
Pahang menyamakan kedudukan, masing-masing pada minit ke-57 dan 71.
Dalam ujian pertama Rabu lepas,
skuad kebangsaan menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Petaling
Jaya, yang terjejas akibat hujan.
Kekalahan semalam menjelaskan
bahawa himpunan pemain-pemain yang dianggap terbaik di negara ini belum tentu
mampu beraksi dengan baik sekiranya skuad tidak dilengkapi disiplin dan
kombinasi yang baik.
Mengakui kekurangan skuadnya
semalam, Rajagopal yang memangku tugas ketua jurulatih menganggap
pemain-pemainnya gagal mencipta persefahaman yang mantap sehingga menampakkan
kelonggaran terutama di sebelah kiri.
``Kombinasi pasukan kurang mantap
akibat ketiadaan beberapa pemain tonggak,'' katanya.
Rajagopal memberitahu, skuadnya
kini dilanda masalah kecederaan termasuk terhadap pertahanan kiri, Rosdi Talib
dan Faizal Zainal.
Jurulatih itu jelas begitu terasa
dengan kehilangan pemain Pahang, Rosdi yang semalam tempatnya diisi oleh Chow
Chee Weng dan kemudian Chee Wan Hoe.
``Dua gol awal adalah jelas
akibat kelemahan di sebelah kiri. Ia menyebabkan Perak mendapat gol-gol yang
mudah,'' katanya.
Bagaimanapun, Rajagopal tidak
perlu merasa malu dengan kekalahan itu kerana skuadnya masih di awal peringkat
latihan fasa dua yang bermula Selasa lepas.
Rajagopal mempunyai tempoh tidak
sampai 20 hari lagi untuk menyediakan pasukan mantap bagi menghadapi cabaran
dalam Kumpulan 4 kelayakan Piala Dunia, yang akan diberikan saingan oleh China,
Kuwait dan Hong Kong. Perlawanan pertama skuad negara ialah menentang Hong Kong
di Stadium Petaling Jaya 18 Februari ini.
Sebelum itu, skuad negara akan
berdepan ujian yang seharusnya membawa manfaat, bertemu Jepun dalam perlawanan
persahabatan pada 7 Februari. Rajagopal dijangka menyenaraikan pemain-pemain
untuk menentang Jepun harfi ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4drMuYRFd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan