Khamis, 13 April 2017

Khidmat pemain Bawah 23 ditagih

ARKIB : 25/02/2004
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya terpaksa memanggil semula pemain-pemain Bawah 23 negara untuk memperkuatkan cabaran dalam baki perlawanan kelayakan Piala Dunia berikutan persembahan buruk ketika bertemu Hong Kong di Kuantan Khamis lepas.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat antara pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dengan semua jurulatih skuad negara termasuk pemangku jurulatih skuad Piala Dunia, K. Rajagopal, Allan Harris (Bawah 23) dan Jorvan Viera (Bawah 20).
``Mesyuarat hari ini (semalam) telah bersetuju bahawa kita perlukan sebuah pasukan yang kuat untuk membawa cabaran negara dalam kelayakan Piala Dunia. Oleh itu, skuad mestilah terdiri daripada pemain-pemain terbaik termasuk daripada skuad Olimpik (Bawah 23).
``Pemilihan kali ini tidak akan menjadikan faktor umur sebagai penentu pemilihan. Jika mereka bagus kita akan pilih,'' tegasnya.
Oleh itu, beliau menjelaskan bahawa had umur 24 tahun untuk pemilihan pemain-pemain skuad Piala Dunia dilupuskan.
Malaysia beraksi buruk dan kalah 3-1 kepada Hong Kong dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia di Kuantan - permainan yang disifatkan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah sebagai aksi bertaraf kampung.
Pada kelayakan Piala Dunia, Malaysia dan Hong Kong diundi dalam Kumpulan Empat Asia bersama-sama Kuwait dan China.
``Keputusan dengan Hong Kong telah berlalu dan kini ialah masa untuk membina semula kekuatan pasukan,'' katanya. ``Tugas melatih skuad Piala Dunia tetap menjadi tanggungjawab Rajagopal tetapi dia akan bekerjasama dengan Harris.''
Skuad senior negara akan melawat Kuwait untuk perlawanan kedua pada 31 Mac ini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan