ARKIB : 15/09/2004
PERAK meletak harapan yang tinggi untuk menjulang Piala FA buat kali kedua selepas melakukannya pada tahun 1990.
Justeru, pertemuan dengan Terengganu pada perlawanan akhir nanti ibarat menamatkan penantian selama 14 tahun lalu.
Jurulatih, Toni Netto berkata, skuad Seladang akan meletakkan tumpuan penuh untuk memenangi perlawanan itu walaupun pada masa yang sama, mereka masih mengharungi kempen Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Perak melangkah ke perlawanan akhir Piala FA setelah menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan agregat 3-0, mendahului keputusan perlawanan separuh akhir pertama 1-0 dan melengkapkan kemenangan kedua 2-0.
Sebelum ini, Netto melahirkan rasa terkilan apabila skuad bimbingannya gagal membawa pulang Piala Liga Super setelah kemenangan berpihak kepada Pahang.
Ekoran daripada kegagalan itu, jurulatih dari Brazil itu dikritik hebat oleh para penyokong Kejor Yeop Kejor dengan melemparkan kata-kata yang kurang enak semasa perlawanan Piala Malaysia, baru-baru ini.
Kini, Netto memperoleh peluang terbaik bagi menangkis segala kritikan jika dia mampu membantu Perak membawa pulang semula Piala FA.
Perak muncul sebagai juara pertama Piala FA pada tahun 1990 dan selepas itu hanya mampu dua kali layak ke perlawanan akhir pada tahun 1991 dan 2001 tetapi gagal menjulang piala berkenaan.
Menyentuh pertemuan dengan PKNS, Netto jelas berpuas hati dengan persembahan para pemain yang menunjukkan persembahan mantap walaupun tanpa lima tonggak utamanya.
Kelima-lima pemain tersebut, K. Nantha Kumar, Richardo Adrian, Liew Kit Kong, Frank Seator dan Luciano Goux tidak diturunkan kerana dibelenggu kecederaan dan masih menjalani hukuman digantung permainan.
``Walaupun tanpa tonggak utama, Perak beraksi bukan untuk mencatat keputusan seri sebaliknya skuad Seladang tetap mencari kemenangan mutlak,'' kata Netto di Ipoh, semalam.
Pemain-pemain muda seperti Shahrulnizam Mustapa, K. Yoganatha, S. Sathia Kumaran, R. Surendren dan Ahmad Azlan Zainal telah diturunkan bagi mengisi kekosongan tersebut.
Malah, Netto ternyata berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda tersebut dalam menghadapi perlawanan yang berprestasi tinggi.
Gol kedua dalam perlawanan dengan PKNS malam kelmarin dijaringkan oleh pemain import yang baru, Keita Mandjou yang dijangka memainkan peranan untuk menjana serangan bahagian tengah kelak.
Netto berharap Mandjou tidak hanya mempamerkan persembahan baik dalam perlawanan pertama tetapi juga pada perlawanan akhir nanti sekiranya dia turunkan semula.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan