Ahad, 16 April 2017

Sukar kumpul pemain jejas perancangan skuad Kim Swee

 
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegagalan menurunkan barisan terbaik - masalah yang tiada penghujung - masih membelenggu pengendali skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee (gambar) untuk menghadapi Kelayakan Piala AFC B-23 di Bangkok pada 19-23 Julai nanti.
Ini berikutan keengganan beberapa pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga-M) untuk melepaskan pemain kerana masing-masing bergelut untuk memenuhi kehendak jadual Liga Super dan Piala Malaysia ketika kelayakan itu berlangsung.
Pengurus pasukan Datuk Wira Yusoff Mahadi tidak mempunyai pilihan sebaliknya mengaku masalah itu masih ada dan berharap ia dapat diselesaikan dengan kadar segera.
“Saya bertemu dengan Kim Swee sebentar tadi (semalam) dan pelbagai perkara kami dibincangkan terutama mengenai perancangan skuad muda negara. Memang benar ada pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain untuk saingan kelayakan itu nanti.
“Mereka memberi alasan bahawa pemain berkenaan amat diperlukan jadi kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pasukan terbabit. Kita berharap isu ini dapat diselesaikan demi kebaikan bersama,” katanya.
Pusingan kelayakan di Bangkok bukan saja penting untuk anak buah Kim Swee mencuba nasib bersaing di pentas lebih tinggi malah ia juga persiapan terbaik sebelum mengharungi Sukan SEA di Kuala Lumpur, kira-kira sebulan selepas itu.
Dalam kempen kelayakan itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama gergasi Asean Thailand dan Indonesia serta Mongolia bagi merebut slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China.
Dengan masalah untuk mendapatkan pemain belum dapat diselesaikan, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM mengesahkan rancangan awal seperti yang diatur bekas jurulatih Frank Bernhardt untuk mengumpul pemain selama tiga bulan sebelum Sukan SEA terpaksa dilupakan.
Sebaliknya mereka dijangka mengadakan latihan pusat di luar negara ketika Ramadan dengan Australia menjadi destinasi pilihan.
“Kami sedang mengatur latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara dan jika berjalan lancar saya fikir Australia adalah destinasi terbaik pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:59 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan