Jumaat, 28 April 2017

Malaysia bukan tandingan China

ARKIB : 09/09/2004

PENYERANG Akmal Rizal Rakhli melarikan bola daripada pemain China, Zheng Zhi dalam aksi kelayakan bola sepak Piala Dunia 2006 zon Asia di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam. Malaysia tewas 1-0. - Gambar ISHAK RAHMAD.



MALAYSIA terus buntu mencari kemenangan dalam kempen kelayakan bola sepak Piala Dunia zon Asia apabila tewas 1-0 kepada China dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.
Meskipun berdepan dengan 10 pemain China dan meraih sekurang-kurang tujuh peluang, nyata nasib tidak menyebelahi Malaysia untuk mencipta kejutan menewaskan naib juara Piala Asia itu.
Ia adalah kekalahan keempat skuad negara dalam kumpulan 4 selepas tewas mengejut 3-1 kepada Hong Kong pada perlawanan pertama 18 Februari lalu, diikuti kekalahan kedua kepada Kuwait 2-0 dan kekalahan ketiga kepada naib juara Piala Asia 4-0 pada 9 Jun lalu.
Kekalahan tersebut memaksa skuad kebangsaan terperosok di tangga terbawah daripada empat pasukan tanpa sebarang mata sekali gus memaksa Malaysia untuk melupakan aksi Piala Dunia pada tahun 2006. Menerusi kemenangan itu China mengukuhkan kedudukan teratas kumpulan dengan 12 mata tanpa sebarang kekalahan.
Malaysia hampir mendahului pada minit ke-15 menerusi Mohd Fadzli Saari, namun dinafikan oleh penjaga gol China, Liu Yunfei yang lebih pantas membaca gerakan penyerang muda itu.
Peluang skuad negara hadir sekali lagi, namun sepakan Akmal Rizal Ahmad Rakhli sekadar melintasi gawang gol pasukan lawan.
China yang tidak memandang mudah saingan Malaysia memberi tentangan sengit menerusi asakan rangkaian penyerang Li Yi dan Li Ming sehingga memaksa benteng bekerja keras.
Pasukan lawan yang sering membuat perangkap `off-side' menyukarkan pergerakan pemain Malaysia melakukan serangan balas.
Tersentak asakan China, pemain negara menggandakan asakan dan hampir membuahkan hasil menerusi sepakan kencang Eddy Helmi Abd. Manan daripada luar kotak penalti, tetapi ditepis keluar penjaga gol pasukan lawan.
Kira-kira 15,000 penonton yang membanjiri stadium sekali lagi dikejutkan dengan peluang Malaysia untuk mendahului, namun sepakan kencang Muhammad Shukor Adan sedikit melepasi palang.
Babak-babak akhir separuh masa pertama, peluang Malaysia muncul lagi, namun sepakan percuma dalam kotak penalti gagal disempurnakan dengan baik oleh Akmal Rizal.
Tiga minit perlawanan bersambung, khabar buruk buat China apabila Zheng Zhi dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan dari Bahrain, Jasim Karim setelah menjatuhkan Mohd Fadzli.
Kesempatan itu nyata gagal digunakan oleh pemain kebangsaan untuk mendahului setelah Tengku Hazman Raja Hassan yang berdepan penjaga gol gagal menguis masuk bola pada minit ke-63.
Akmar Rizal yang membuat larian solo sekali lagi mengecewakan penyokong apabila tendangannya tersasar keluar.
Keghairahan skuad negara memburu gol membawa padah, apabila China membuat serangan balas yang menghasilkan gol pada minit ke-67 menerusi sepakan dari luar kotak penalti oleh Li Jinyu.
Tersentak dengan jaringan China, skuad negara cuba bangkit namun sepakan kencang Eddy Helmi dari luar kotak penalti pada minit ke-89 sekadar mengenai tiang gol lawan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan