ARKIB : 27/12/2003
Sorotan 2003
Oleh Johari Shawal
SEKALI lagi bola sepak Malaysia
gagal membawa pulang pingat emas Sukan SEA.
Selepas gemilang pada 1989 di
tempat sendiri, skuad negara leka di Manila pada 1991, cuai di Singapura pada
1993, longlai di Chiang Mai pada 1995, tidak berupaya di Jakarta pada 1997
sehingga dipalit aib di Brunei pada 1999.
Selepas peminat tempatan `memberontak',
pasukan negara bangkit pada 2001 dan hampir memenanginya pada temasya kali
ke-21 di tempat sendiri dua tahun lalu.
Pun begitu, nasib terus menjadi
alasan utama kegagalan walaupun sudah melangkah ke final.
Tahun ini, Vietnam mengulangi
nasib malang itu. Garang di Ho Chi Minh tetapi terkulai di Hanoi. Kilauan
keramat pingat emas masih tidak kenampakan.
Jelas, bintang bola sepak negara
di pentas Asia Tenggara masih tidak bercahaya. Pasukan masih teraba-raba ke
mana sebenarnya arah yang perlu dituju. Itu belum dikira lagi di peringkat
lebih tinggi seperti kelayakan Piala Asia lalu.
Jurulatih silih berganti, pemain
datang dan pergi tetapi emas yang dicari tidak juga berada di sisi.
Liga domestik begitu gah tetapi
aksi di peringkat antarabangsa masih rebah.
Kegagalan di Vietnam sekadar
menambah lagi duka negara dalam pertarungan antara negara rantau Asia Tenggara.
Apakah bola sepak akan terus
gagal pada masa-masa akan datang sekali pun di rantau sekecil itu.
Menyorot pencapaian bola sepak
negara pada tahun 2003, skuad negara tidak dapat mengelak daripada menempuh
kekecewaan.
Dua kejohanan besar iaitu
kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur dan Manama, Bahrain pada Oktober serta
Sukan SEA bulan ini menjadi bukti paling nyata.
Walaupun pelbagai pengalaman
disogok, termasuk kejohanan elit Piala FA Asia di Bukit Jalil Julai lalu, bola
sepak negara tidak juga mampu bangkit.
Tentu sekali kita tidak harus
membuat ukuran prestasi Malaysia dalam kejohanan itu yang disertai
bintang-bintang dunia yang membarisi kelab Chelsea, Newcastle United dan
Birmingham City.
Tewas kepada Chelsea 4-1 dan 4-0
kepada Birmingham City adalah jalan cerita nyata yang sudah dijangka.
Namun, kebangkitan Malaysia yang
diharap dalam kelayakan Piala Asia tidak juga mampu digapai.
Bermain baik pada pusingan
pertama di Kuala Lumpur, menang 4-0 ke atas Myanmar, seri tanpa jaringan dengan
Iraq dan seri 2-2 dengan Bahrain tetapi Malaysia tenggelam pada pusingan kedua
di Manama, tewas 5-1 kepada Iraq dan 3-1 kepada Bahrain sebelum dimalukan pula
oleh Myanmar 2-1.
Malaysia sekali lagi pulang
kecewa, gagal lagi ke pusingan akhir Piala Asia.
Bekas jurulatih kebangsaan
tempatan satu ketika dahulu pernah berkata, skuad negara tidak akan ke mana
selagi liga domestik tidak berubah.
Rata-rata pemain negara dibarisi
oleh pemain dari liga itu. Hanya beberapa kerat daripada mereka yang menimba
ilmu di luar negara tetapi tempoh masa yang diberi begitu singkat, maka gagal
membantu pasukan.
Mungkin perkara itu lebih jelas
jika melihat kepada liga domestik kita musim ini.
Bukan untuk merendahkan sesebuah
pasukan dalam liga tetapi apakah yang dapat kita simpulkan daripada kejayaan
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), sebuah pasukan bertaraf kelab,
menjulang Piala Malaysia?
Ramai yang memberi pandangan yang
kononnya positif bahawa ia satu petanda baik bola sepak negara semakin
meningkat.
Tetapi sedarkah bahawa sebahagian
besar pemain MPPJ adalah pemain buangan pasukan negeri dan bekas pemain
kebangsaan yang dianggap tidak lagi boleh diharapkan.
Mengapa MPPJ menang Piala
Malaysia. Adakah elemen kepimpinan yang dikatakan begitu tinggi dalam pasukan
itu menjadi faktor atau bekas pemain kebangsaan yang ada dalam pasukan itu
masih tinggi mutunya berbanding pemain dalam barisan kebangsaan kini.
Yang jelas, jurulatih negara,
Allan Harris turut gagal membawa Malaysia ke pentas terhormat selepas empat
tahun mengemudi pasukan kebangsaan.
Cuma yang bagusnya, Harris telah
berjaya membentuk satu pasukan muda yang kononnya dimahukan oleh semua, yang
mampu mengubah senario bola sepak negara, bukan lagi kuda-kuda tua yang terus
menghadiahkan kegagalan demi kegagalan.
Tahun depan, skuad negara akan
menghadapi dua kejohanan besar iaitu kelayakan Sukan Olimpik 2004 dan kelayakan
Piala Dunia 2006.
Ramai yang menanam hajat tinggi
agar skuad negara mampu memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Tetapi ramai yang sudah mencebik
bibir setelah melihat kedudukan kumpulan Malaysia dalam kelayakan Olimpik -
Korea Selatan, Iran dan China.
Dalam kelayakan Piala Dunia 2006
pula, Kuwait, Hong Kong dan China menanti Malaysia.
Sudah tentu satu lagi tugas berat
dipikul oleh barisan negara, satu lagi tugas sukar untuk menentukan arah tuju
bola sepak negara.
Apa pula impian yang kita pasang
kali ini. Apa pula angan-angan pucuk pimpinan bola sepak kebangsaan kita kali
ini dan bagaimana pula keinginan barisan pemain kita kali ini.
Tentulah sesuatu yang indah dan
membanggakan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4diyghZMP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan