Rabu, 12 April 2017

Permulaan mengaibkan

ARKIB : 19/02/2004
Oleh AIZAWATI AHMAD
 
PENYERANG Malaysia, Nizaruddin Yusoff dijatuhkan pemain Hong Kong dalam saingan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2006 Kumpulan Empat di Kuantan, semalam. - Gambar GHAZALI BASRI.

MALAYSIA mempamer aksi cukup mengecewakan apabila tewas 3-1 kepada pasukan bukan pilihan Hong Kong dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2006 Kumpulan Empat Zon Asia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Sebaliknya, dua jaringan Chu Siu Kei pada minit ke-87 dan Cheung Sai Ho pada minit ke-90 menceriakan Hong Kong yang sebelum itu diikat 1-1 oleh pasukan tuan rumah pada babak pertama.

Sebelum itu, Ng Wai Chiu terlebih dahulu mengejutkan skuad negara apabila menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-16 tetapi pemain pertahanan, Rosdi Talib menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Sebaik tirai babak pertama disingkap, Malaysia menguasai permainan tetapi kesilapan barisan pertahanan jelas membawa padah.

Ini menyaksikan pada minit ke-16, Wai Chiu menanduk masuk jaringan yang mengejutkan 12,000 penonton untuk Hong Kong mendahului 1-0.

Gol berpunca apabila sepakan percuma pemain Hong Kong, Law Chun Bong gagal ditangkap kemas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Hamsani Ahmad sebelum disambar Wai Chiu.

Lima minit selepas itu, Hong Kong hampir menambah jaringan tetapi mujur sepakan penyerangnya melambung tinggi melepasi palang gol.

Namun Rosdi menyelamatkan maruah pasukan kebangsaan apabila menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-38.

Pemain pertahanan kebangsaan itu menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil selepas penyerang, Nizaruddin Yusoff dijatuhkan dalam kotak penalti.

Walaupun gandingan penyerang, Liew Kit Kong dan ketua pasukan, Hairuddin Omar banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan, ketiadaan penyudah yang berkesan menyaksikan peluang yang terhidang sering tersasar termasuk percubaan solo Hairuddin pada minit ke-41.

Bagaimanapun harapan untuk menyaksikan skuad negara bangkit di babak kedua tidak kesampaian apabila Hong Kong menambah dua lagi gol dalam baki tiga minit terakhir permainan.

Selepas kemasukan V. Saravanan masih gagal membawa sebarang perubahan pada jentera serangan Malaysia. Hong Kong mengambil kesempatan itu dengan meledakkan dua jaringan.

Gol kedua Hong Kong juga berpunca daripada kesilapan Hamsani yang gagal menangkap kemas sepakan Siu Kei sebelum bola menggolek masuk pada minit ke-87.

Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan 2-1, Hong Kong sekali lagi mengejutkan Malaysia dengan gol ketiga dalam masa kecederaan menerusi Sai Ho yang merembat kencang daripada jarak 30 meter.

MALAYSIA: Hamsani Ahmad, Yuszaiman Zahari, Syamsul Saad, Faizal Zainal, Rosdi Talib, Eddy Helmi Manan, Kaironnisam Sahabudin Hussain (Tengku Hazman Raja Hassan), K. Nantha Kumar, Liew Kit Kong (V. Saravanan), Hairuddin Omar, Nizaruddin Yusoff.

HONG KONG: Fan Chun-yip, Ng Wai-chiu, Man Pei-tak, Lee Wai-man, Chan Wai-ho, Luk Koon-pong, Lau Chi-keung, Law Chun-pong (Cheung Sai-ho), Sham Kwok-keung (Kwok Yue-hong), Lawrence Akandu (Chan Ho-man), Chu Siu-kei

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4e35CZ0lw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan