Khamis, 13 April 2017

Skuad Olimpik menang besar

ARKIB : 27/02/2004
SKUAD Bawah 23 negara mendapat apa yang diperlukan menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik zon Asia, kemenangan besar 5-0 ke atas kelab Tanjong Pagar United dalam perlawanan persahabatan di Stadium Queenstown, Singapura semalam. Semua gol dijaringkan pada babak pertama, yang menyaksikan penguasaan penuh anak-anak buah Allan Harris.
Pemain Perak, R. Surendran mencipta jaringan hatrik iaitu pada minit ke-26, 27 dan 39. Dua lagi gol disumbangkan oleh pemain MPPJ Selangor, Harris Safwan Kamal dan Mohd. Safee Sali, masing-masing pada minit ke-13 dan 24.
Kemenangan itu jelas sesuatu yang diperlukan oleh skuad Bawah 23 negara dalam fasa terakhir latihan persediaan sebelum memulakan cabaran dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik minggu depan.
Pada kelayakan Olimpik, skuad Harris, yang muncul pemenang pingat gangsa Sukan SEA di Vietnam tahun lepas dalam `kumpulan maut' - akan berdepan dengan tiga gergasi bola sepak Asia iaitu Korea Selatan, Iran dan China di mana hanya juara-juara kumpulan mendapat kelayakan ke Olimpik di Athens pada Ogos.
Perlawanan pertama Malaysia dalam Kumpulan A ialah menentang Iran di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya pada Rabu depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan