Sabtu, 29 April 2017

Bicskei panggil semula Norhafiz

ARKIB : 18/10/2004
PEMAIN pertahanan tengah Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah kini kembali menyertai skuad bola sepak kebangsaan selepas tercicir dari rombongan ke Hong Kong baru-baru ini.
Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei memasukkan semula pemain itu beberapa hari selepas kekalahan 0-2 Malaysia kepada Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia Kumpulan 4, tetapi kemungkinan Zamani akan diberi peranan baru.
Sejak beberapa tahun lepas Zamani merupakan nadi pertahanan bagi skuad kebangsaan di bawah bekas jurulatih, Allan Harris.
``Zamani mempunyai keupayaan teknikal yang kuat tetapi mungkin beliau tidak mempunyai kekuatan fizikal dan ketinggian untuk bermain sebagai pemain pertahanan tengah,'' kata Bicskei di Kuala Lumpur, semalam.
``Tetapi seperti mana yang saya katakan sebelum ini, pintu tidak tertutup buat Zamani untuk bermain dalam pasukan kebangsaan, ia hanya melibatkan perubahan peranan beliau, itu saja. Jadi kita lihat bagaimana beliau akan menyesuaikan diri dalam latihan yang akan datang,'' kata jurulatih dari Hungary itu.
Sementara itu, panggilan untuk menyertai latihan pasukan kebangsaan itu mengubat kehampaan Zamani yang kecundang dalam saingan suku akhir Piala Malaysia.
Zamani akan menjadi sebahagian daripada kumpulan 38 pemain yang akan melapor diri di Wisma FAM, Selasa ini sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Singapura di republik itu pada 1 Nov.
``Saya rasa pedih juga apabila tersingkir daripada pasukan yang terdahulu,'' kata Zamani.
``Panggilan kali ini amat bermakna bagi saya kerana saya mahu membuktikan yang saya memang layak mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan yang telah saya anggotai sejak beberapa tahun lamanya.'' - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan