Sabtu, 8 April 2017

Skuad Harris berkeyakinan

ARKIB : 10/11/2003
PASUKAN bola sepak bawah 23 negara mencatat kemenangan memberangsangkan sebelum memulakan jelajah persahabatan di Australia minggu depan selepas menewaskan pasukan Liga Super, Pahang 3-2 di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Pasukan remaja kebangsaan itu yang bersiap sedia untuk menghadapi Sukan SEA XXIX di Vietnam bulan depan, mendahului pada minit ke-22 melalui penyerang, Akmal Rizal Rakhli sebelum K. Rajan menambah jaringan lima minit kemudian.

Pahang yang menewaskan juara Piala Malaysia, MPPJ Selangor 2-1 Khamis lalu, membalas dengan dua jaringan berturut-turut pada minit ke-31 dan 32 menerusi Hairulnizam Hanif dan Fakarudin Salahudin.

Bagaimanapun, pemain tengah Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kemenangan Malaysia minit ke-62.

``Kami tidak membariskan beberapa pemain utama pada separuh masa pertama untuk memberi peluang pemain baru menunjukkan kebolehan mereka,'' kata jurulatih kebangsaan, Allan Harris.

``Keseluruhannya, perlawanan ini mempamerkan persembahan baik dan tiga gol sudah cukup bagus jika mengambil kira bahawa kita melakukan banyak perubahan yang telah mengganggu kelancaran permainan.

``Tetapi sekurang-kurangnya semua pemain lebih bersiap sedia bagi lawatan ke Australia.''

Malahan terdapat beberapa perubahan dalam barisan biasa, namun para pemain tidak mengambil masa yang lama untuk menyelaraskan permainan dengan Akmal menunjukkan beliau masih memiliki sentuhan berbisa walaupun tidak diturunkan beberapa minggu.

Sebelum perlawanan persahabatan itu, lima pemain disingkirkan daripada pasukan dengan Tengku Adam Tengku Rosli menjadi pemain pertama terkeluar daripada senarai awal 29 pemain.

Empat pemain lain yang turut tidak mendapat tempat dalam pasukan itu ialah Ahmad Norafandy Yatim, M. Ravinthiran, Fauzi Nan dan Yosri Derma Raju.

Baki 24 pemain akan berlepas ke Australia bagi tiga perlawanan persahabatan.

``Daripada senarai itu, hanya 20 akan disenarai pendek bagi Sukan SEA Vietnam,'' kata Harris.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dexGT4LC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan