Sabtu, 8 April 2017

Aksi paling mengecewakan



 
ARKIB : 24/10/2003

Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
PEMAIN Malaysia, Yosri Derma Raju menanduk bola sambil cuba di halang oleh pemain Bahrain, Hussain Ali Ahmad (depan) sewaktu aksi kelayakan bola sepak Piala Asia di Manama, Bahrain kelmarin. Malaysia tewas 3-1 dan gagal ke pusingan akhir tahun depan. - Gambar AFP.

MANAMA, BAHRAIN - Pintu sudah tertutup buat Malaysia apabila gagal memenuhi hajat untuk beraksi dalam pusingan akhir bola sepak Piala Asia di Beijing, China tahun depan hanya disebabkan kelemahan pemain ketika beraksi dalam peringkat kelayakan kumpulan F termasuk menentang Bahrain di Stadium Nasional, di sini, kelmarin.

Kekalahan 1-3 kepada Bahrain kelmarin, perlawanan penentuan untuk merebut satu daripada dua kuota ke Beijing jelas mengecewakan kerana Malaysia benar-benar memerlukan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri selepas dibelasah Iraq 5-1 Isnin lalu.

Sebaliknya Iraq, pendahulu kumpulan F bersama Bahrain telah layak ke pusingan akhir Piala Asia walaupun skuad kebangsaan mempunyai satu lagi perlawanan menentang Myanmar hari ini yang sekadar menjadi pelengkap jadual sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Dengan satu lagi perlawanan bakal berlangsung, Iraq terus berada di tangga teratas kumpulan selepas mengumpul 13 mata, diikuti Bahrain 10 mata manakala Malaysia cuma mengekalkan lima mata yang dipungut dalam pusingan pertama. Myanmar pula tanpa sebarang mata di belakang skuad negara.

Di mana silapnya? Memang terlalu banyak kelemahan di kalangan pemain negara ketika beraksi dalam pusingan kedua walaupun mereka berusaha sedaya upaya dengan mempamerkan semangat tinggi.

Jelas ketika menentang Bahrain, semangat sahaja tidak mencukupi untuk menangani ketangkasan, kemahiran tinggi pemain lawan dan ketajaman penyerangnya menghasilkan jaringan.

Persoalannya kenapa pemain tidak konsisten selepas pusingan pertama di tanah air yang menyaksikan skuad kebangsaan boleh mengekang kemaraan Iraq yang diikat tanpa jaringan sebelum seri 2-2 dengan Bahrain?

Ketika ditanya tentang kekalahan kepada Bahrain, kelmarin, jurulatih Alan Harris berkata, di antara kelemahan skuad kebangsaan ialah pemain tidak mempunyai sikap profesional yang tebal dalam jiwa mereka.

Kata Harris, selepas ketinggalan 0-1, pemain skuad kebangsaan masih mampu bermain dengan baik sehingga berjaya menyamakan kedudukan 1-1 tetapi gagal untuk mengekalkan kedudukan sekurang-kurangnya sehingga tamat babak pertama.

Dalam perlawanan kelmarin, Bahrain menghasilkan jaringan menerusi Husain Ali Ahmed (minit 28 dan 45) serta sepakan penalti Talal Yusuf Mohd. Mahmood (minit 42) manakala gol tunggal skuad kebangsaan oleh Indra Putra Mahayuddin (minit 36).

Ketiadaan penjaga gawang, Azmin Azram Aziz, Victor Andrag, Nizam Jamil, K. Nanthakumar, Subri Sulong, Akmal Rizal Rakhli dan Zainizam Marjan yang dilanda kecederaan bukannya penyebab utama kekalahan di Bahrain kerana mereka tidak diturunkan dalam perlawanan pusingan pertama tetapi Malaysia masih mampu memberikan tentangan sengit.

Malah, kubu Malaysia yang dikawal oleh Mohd. Khaironnisam Sahabuddin, dan Norhafiz Zamani Misbah hanya sekadar membenarkan lawan menghasilkan dua jaringan berbanding lapan gol yang bolos dalam pusingan kedua setakat ini.

Hendak dikatakan pemain-pemain skuad kebangsaan tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan gol dalam pusingan kedua, penyerang Mohd. Hairuddin Omar telah membuktikannya apabila berjaya membocori gawang Iraq dalam perlawanan Isnin lalu menakala Indra Putra Mahayuddin pula melakukan tandukan cantik untuk gol minit ke-36 ketika menentang Bahrain kelmarin.

Harris tidak menjadikan keadaan cuaca negara Arab dan gelanggang sebagai alasan. Jadi apakah sebab utama kegagalan skuad kebangsaan jika tidak pemain yang menjadi penyumbang.

Sudah pasti setiap kekalahan pasukan kebangsaan akan dikaitkan dengan jurulatih termasuk giliran Harris yang perlu bertanggungjawab dengan kekalahan dalam kelayakan Piala Asia.

Namun, kehadiran jurulatih sudah pun silih berganti, mutu permainan masih ditahap lama dan tidak langsung terdapat peningkatan yang agak memberangsangkan. Daripada nama-nama hebat Claude Le Roy, Hatem Soussi dan paling akhir Harris, Malaysia tetap tidak ke mana, bukan sahaja gagal menguasai Asia malah untuk mengimpikan kuasa bola sepak di Asia Tenggara pun masih kabur.

Sehubungan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan untuk mengembalikan semula imej bola sepak negara yang kini sudah tercalar.

Sebelum itu, biarlah usaha mencari penawar buat Malaysia bermula hari ini menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir kumpulan walaupun tidak dapat memenuhi hajat pemain tetapi sekurang-kurangnya demi menjaga maruah.

Jangan pula terperangkap dengan aksi Myanmar kerana jika kegagalan yang masih dicari, sudah pasti menambah derita yang ditanggung oleh pasukan negara. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4de26kzM2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan