Ahad, 2 April 2017

Malaysia belasah Filipina



ARKIB : 03/07/2003
MALAYSIA mencatat kemenangan pertamanya dalam Kejohanan Futsal ASEAN 2003 selepas membelasah Filipina 6-1 di Stadium Sukpa, Kuantan semalam.

Selepas tewas 1-6 kepada juara bertahan, Thailand kelmarin pasukan negara mempamer aksi lebih kemas dengan gerakan menarik untuk membenam cabaran Filipina.

Kesungguhan Malaysia untuk mengutip mata penuh terserlah sewal minit kedua apabila Mohd. Saiful Md. Noor dijatuhkan dalam kotak penalti Filipina untuk dihadiahkan sepakan penalti.

Jamhuri Zainuddin yang mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol pertama Malaysia.

Tiga minit kemudian, Arasan Joseph pula mencatat nama sebagai penjaring gol apabila berjaya membolosi gawang Filipina menerusi satu gerakan dari sebelah kiri gelanggang.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun tersentak seketika apabila Filipina merapatkan jurang 2-1 pada minit ke-13, hasil sepakan percuma dari pemain berpengalaman, Robert Dona.

Kegembiraan Filipina hanya sementara apabila Malaysia kembali melebarkan jurang menerusi gol ketiga, sekali lagi daripada Jamhuri pada minit ke-17, sebelum Saiful menjadikan kedudukan 4-1, dua minit kemu-dian.

Pasukan negara menambah dua lagi gol pada babak kedua, kali ini hasil jaringan Mohamad Feroz Ab. Karnim pada minit ke-30 dan Addie Azwan Zainal, minit ke-32.

Dalam satu lagi perlawanan, Thailand mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu apabila membelasah Brunei 11-2, walaupun ketinggalan dua gol pada awal permainan.

Anucha Munjajern dan Joe Nuengkord menjaringkan hatrik buat Thailand, manakala lima gol lagi dijaringkan Phanuphong Suwatsrisakul (17, 27), Kittisak Tanasuwan (18), Jadet Punpoem (19) serta Pongpipat Kamnuan pada minit ke-30.

Dalam perlawanan terdahulu, Indonesia mencatatkan kemenangan kedua pada kejohanan ini selepas menundukkan Kemboja 7-5.

Jaringan Indonesia disumbangkan oleh Andri Irawan di minit ke-10 dan 24, Felix Arifin (15), Achmad Ramdani (26), Edward Amaludin (27) dan Akbar Mallarangan pada minit ke-34 dan 40.

Lima gol Kemboja pula diperoleh menerusi hatrik Chan Arunreath pada minit ke-21, 35 dan 36 serta dua jaringan Chan Veansa pada minit ke-25 dan 37.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4d4xZlLRI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan