ARKIB : 29/09/2004
MALAYSIA perlu menang untuk layak ke suku akhir apabila bertemu Nepal dalam perlawanan terakhir kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Belia Piala Asia di Stadium JCorp Pasir Gudang, Johor malam ini.
Tidak kira jumlah jaringan yang dicipta tetapi memadai dengan kelebihan 1-0 untuk meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan tersebut sekali gus layak ke suku akhir.
Pun begitu, Nepal juga memiliki matlamat yang sama untuk mengiringi Jepun ke suku akhir bola sepak berkenaan.
``Malaysia turun malam ini dengan satu matlamat, iaitu menang. Kami tidak meletakkan jumlah jaringan yang disasarkan dalam perlawanan itu nanti, memadailah dengan kelebihan 1-0.
``Namun, cabaran yang akan Malaysia hadapi cukup getir kerana Nepal juga mempunyai misi yang sama,''ujar jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal.
Malaysia berada dalam kumpulan A bersama Jepun, Nepal dan Vietnam.
Kumpulan itu kini diterajui oleh Jepun yang juga naib juara dua tahun lalu di Qatar, meraih dua kemenangan iaitu ke atas Nepal 3-0 dan jaringan sama ke atas Malaysia, kelmarin.
Malaysia dan Nepal pula masing-masing terikat dengan tiga mata.
Skuad negara menang sekali mengalahkan Vietnam 1-0 manakala Nepal turut menundukkan Vietnam juga dengan jaringan yang sama.
Setakat ini, Vietnam yang telah tumpas dua perlawanan akan bertemu Jepun malam ini dan kemenangan baginya tidak akan mengubah kedudukan mereka dalam carta liga.
Rajagopal berkata, beliau telah mengenal pasti kelemahan yang dimiliki oleh Nepal dan akan menggunakan kelemahan itu untuk mencipta gol.
``Salah satu taktik yang akan kita gunakan ialah serangan balas. Kita bertahan semasa diserang dan menyerang Nepal secepat mungkin.
``Kami akan cuba untuk memecahkan kubu skuad Nepal untuk meraih gol sebanyak mungkin,'' ujarnya sambil mengakui anak buahnya kini tertekan kerana perlu beraksi cemerlang di gelanggang sendiri.
Menyentuh faktor kekalahan 3-0 Malaysia kepada Jepun kelmarin, Rajagopal menyatakan, skuad bimbingannya tertekan selepas Jepun mencipta gol seawal minit pertama perlawanan.
``Mereka (pemain) lebih tertekan apabila Jepun memasukkan penyerang gantian, Takayuki Marimoto.
``Marimoto bijak menggerakkan jentera serangannya sehingga memaksa Malaysia bertahan dan akhirnya kalah 3-0,'' ujarnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan