Ahad, 9 April 2017

Orang lama dalam skuad senior

ARKIB : 13/01/2004
Oleh Johari Shawal

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat sedikit `kejutan' dalam menamakan barisan pelatih skuad senior kebangsaan dengan memilih beberapa bekas pemain negara untuk membentuk pasukan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

Antara pemain itu ialah penyerang berpengalaman Pahang, Azizul Kamaluddin, K. Sanbagamaran, Idris Karim, bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, B. Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom.

Penasihat Teknikal FAM, Karl Heinz-Weigang berkata, seramai 36 pemain telah disenaraikan untuk latihan dan semua nama pemain yang berada dalam senarai itu adalah pilihan para jurulatih Liga Malaysia.

``Kami sengaja menamakan barisan ini kerana mereka adalah pilihan jurulatih dan yang terbaik dalam pasukan masing-masing.

``Semua pemain akan melaporkan diri di Wisma FAM untuk dihimpunkan selama tiga hari (16 hingga 18 Januari) dan menerusinya kita akan mengenal pasti pemain mana yang boleh diserapkan dalam pasukan sebenar,'' kata Weigang pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Weigang berkata, mereka terpaksa memilih pemain atas cadangan jurulatih dari pasukan ke-lab masing-masing kerana masa untuk mengumpulkan pemain amat terhad.

``Kelayakan Piala Dunia akan berlangsung Mac ini dan kita hanya ada tiga bulan untuk membuat persiapan termasuk memilih pemain.

``Kita akan lihat perkembangan setiap daripada 36 pemain ini menerusi aksi-aksi Liga Malaysia yang bermula Februari depan,'' katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan 4 pada kelayakan benua Asia yang terdiri daripada Kuwait, Hong Kong dan China yang beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2002.

Skuad senior ini akan dibimbing oleh jurulatih bawah 21 negara, K. Rajagopal.

Weigang berkata, daripada 36 pemain berkenaan, Rajagopal akan memilih 20 pemain untuk bertandang ke Jepun bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan negara itu pada 7 Februari.

Bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan, Kamarulzaman Hassan, turut dipanggil untuk latihan selain Hairuddin Omar, Subri Sulong, Rosdi Talib, Nizaruddin Yusof, Eddy Helmy Manan, Syamsul Saad dan Yuszaiman Zahari.

Weigang berkata, pemilihan pemain-pemain berkenaan tidak akan mengganggu tumpuan skuad bawah 23 kendalian jurulatih England, Allan Harris yang dikhususkan untuk kelayakan Olimpik yang berlangsung pada masa yang hampir sama.

``Barisan ini cuma permulaan. Kita akan kenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan selepas latihan kesesuaian dibuat,'' kata Weigang.

BARISAN PELATIH SENIOR

Penjaga gol: Azmin Azram Aziz, Jamsari Sabian, Hamsani Ahmad, Kamarulzaman Hassan.

Pertahanan: B. Rajinikandh, Khairul Anuar Baharom, Bahtiar Othman, Lim Chan Yew, Khaironnisam Sahabudin, Victor Andrag, Chee Wan Hoe, Syamsul Saad, Chan Wing Hong, Subri Sulong, Rosdi Talib, Wong Sai Kong, Faizal Zainal, Yuszaiman Zahari, M. Elangoo.

Tengah: K. Sanbagamaran, Idris Karim, Ahmad Shahrul Azhar, Tengku Hazman Raja Hassan, Chow Chee Weng, K. Nanthakumar, Gilbert Cassidy Gawing, Ramesh, Eddy Helmy Manan, Hardi Jaafar.

Penyerang: Azizul Kamaluddin, V. Saravanan, Khalid Jamlus, Liew Kit Kong, Hairuddin Omar, Sapian Abdul Wahid, Nizaruddin Yusof.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dkZ3B7QU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan