ARKIB : 13/07/2004
|
MALAYSIA mengambil kesempatan di atas kepincangan Singapura yang terpaksa bermain 10 orang sebelum mencipta kemenangan 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium KLFA Cheras, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Bagaimanapun Malaysia terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk menembusi gawang Singapura selepas pemain lawan, Tan Kim Leng dibuang padang pada penghujung babak pertama.
Pemain gantian, Mohd. Shukor Adan membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-65 sebelum ketua pasukan, Akmal Rizal Rakhli menjaringkan gol kedua pada minit ke-90.
Gol pertama skuad negara berpunca daripada sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin yang ditanduk ke belakang K.Nanthakumar sebelum disambar Shukor untuk menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.
Singapura bermain baik pada awal permainan tetapi tiba-tiba hilang tumpuan selepas Tan Kim Leng dibuang padang oleh pengadil perlawanan dari Thailand, Waiyabot Anucha pada minit ke-40 kerana menendang bola ke arah pengadil.
Begitu pun skuad negara masih gagal menembusi benteng kebal Singapura walaupun beberapa serangan dilancarkan menerusi gandingan pemain tengah, Eddy Helmi Manan, Tengku Azman Raja Hassan dan Nanthakumar.
Ketumpulan barisan serangan yang diketuai Akmal dan Indraputra juga menggagalkan usaha untuk mendapatkan gol awal.
Pasukan bimbingan Allan Harris bagaimanapun tampil pada babak kedua dengan lebih bertenaga namun Singapura lebih banyak mengasak kubu Malaysia untuk mencari gol penyamaan.
Akmal bagaimanapun memperoleh peluang terbaik pada pada minit ke-55 menerusi gerakan satu dua dengan Fadzli Shaari tetapi bola tandukannya tersasar sedikit di atas palang gol Singapura.
Selepas Shukor menjaringkan gol pertama, Malaysia mula menguasai permainan tetapi hanya pada minit-minit terakhir perlawanan berjaya menggandakan jaringan.
Skuad negara menghukum kelalaian barisan pertahanan Singapura apabila Akmal yang tidak dikawal melarikan bola secara solo sebelum merembat rendah dari luar kotak penalti ke sebelah kiri gawang lawan.
Ketika Akmal membawa bola itu, pemain Singapura menyangkakan permainan dihentikan untuk memberikan sepakan percuma sebaliknya pengadil meneruskannya.
Ini merupakan kemenangan ketiga skuad negara ke atas Singapura sejak Piala Tiger 2002 dan terakhir pada Sukan Sea 2003 di Vietnam lalu.
Ia juga menjadi kemenangan moral skuad Allan menjelang perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana England, Norwich City pada Sabtu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan