ARKIB : 09/10/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PENYERANG negara, Mohd. Fadzli
Shaari cuba melepasi kawalan dua pemain Myanmar, Aung Kyaw Pun (kiri) dan Soe
Lin Tun pada perlawanan pusingan pertama bola sepak kelayakan Piala Asia di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 4-0.
KETUA pasukan, Tengku Hazman Raja
Hassan menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia menewaskan Myanmar 4-0
dalam perlawanan kelayakan bola sepak Piala Asia Kumpulan F di Stadium
Nasional, Bukit Jalil semalam.
Kemenangan itu meletakkan
Malaysia di tangga kedua kumpulan di belakang pasukan pilihan, Iraq yang
sebelumnya menewaskan Bahrain 5-1.
Namun, 10 minit pertama
perlawanan dikuasai oleh Myanmar yang bertubi-tubi menyerbu untuk meletakkan
gawang negara di ambang bahaya.
Tetapi ketiadaan penyerang
berkaliber menjadi penyelamat buat penjaga gol negara, Azmin Azram Aziz.
Peluang terbaik Myanmar hadir pada minit ke-10 tetapi apabila Aung Kyaw Tun
lambat bertindak di depan pintu gol.
Malaysia nyaris memperoleh gol
pembukaan empat minit kemudian apabila Mohd. Nizaruddin Yusof membuat sepakan
kencang dari jarak kira-kira 15 meter hanya untuk dikecewakan oleh hujung jari
Aung Aung Oo.
Penyerang Pahang, Hairuddin Omar
kemudian mendapat dua peluang hasil umpanan bek kanan, M. Elangoo tetapi
kedua-dua tandukannya tersasar pada minit ke-25 dan 29.
Malaysia mendapat gol yang
ditunggu-tunggu pada minit ke-35 hasil gerakan cantik di sebelah kanan. Bermula
dengan gerakan pemain tengah, Juzaili Samion, bola berpindah ke kaki Hairuddin
yang kemudiannya menolak ke ke belakang kepada ketua pasukan, Tengku Hazman
Raja Hassan yang terus melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang.
Malaysia nyaris menambah gol pada
masa kecederaan babak pertama menerusi Nizaruddin, tetapi sepakannya yang
menuju sebelah kiri gawang Myanmar dapat ditepis keluar oleh Aung Aung, selepas
menerima umpanan Hairuddin yang membuat larian dari tengah.
Malaysia memulakan babak kedua
dengan membuat sedikit perubahan apabila memasukkan Gilbert Cassidy Gawing
menggantikan Nizaruddin, percaturan yang jelas menambah kemantapan di barisan
depan. Pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin juga kelihatan mula mempamerkan
kemahiran mengawal bola untuk beberapa kali melepasi kawalan barisan pertahanan
Myanmar.
Kelincahan Indra jelas memaksa
pertahanan Myanmar bekerja keras dan akhirnya membuat kesilapan apabila Zaw
Lynn Tun menjatuhkan pemain pemain Perak itu di dalam kawasan penalti.
Gilbert yang diamanahkan
mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang tetapi pengadil mengarahkan
sepakan kedua dilakukan kerana Indra mengikuti terlalu rapat.
Gilbert bagaimanapun tidak hilang
tumpuan dengan sepakan ke arah kanan ketika Aung Aung merebahkan badan ke
sebelah kiri. Malam manis buat Tengku Hazman berterusan apabila dia hanya perlu
menjulurkan kaki untuk menampan masuk umpanan Gilbert dari sebelah kanan untuk
gol ketiga pada minit ke-80. Ketinggalan semakin jauh membuatkan Myanmar hilang
semangat untuk memudahkan lagi Malaysia menumpukan kepada corak menyerang.
K. Rajan yang masuk menggantikan
Hairuddin pasti tidak akan melupakan perlawanan semalam apabila sentuhan
pertamanya terkena Soe Lin Tun sebelum bola menggolek masuk ke dalam gawang
dengan keadaan penjaga gol tidak mampu untuk berbuat apa-apa.
Dalam satu lagi perlawanan, Iraq membuktikan
kehebatan mereka sebagai pasukan pilihan apabila membelasah Bahrain 5-1 dalam
perlawanan terdahulu.
Empat gol menerusi jaringan
Younis Khalaf dan satu lagi hasil sentuhan Jassim Fayadh memastikan Iraq meraih
mata penuh.
Meskipun berdepan dengan masalah
dalam usaha membentuk pasukan kebangsaan berikutan serangan Amerika Syarikat ke
atas negara itu awal tahun ini, Iraq yang tewas pada suku akhir Piala Asia 2000
di Lebanon, nyata masih hebat.
MALAYSIA: Azmin Azram Aziz,
Norhafiz Zamani Misbah, M. Elangoo, Mohd. Fadzli Shaari, Mohd. Nizaruddin Yusof
(Gilbert Cassidy Gawing), Indra Putra Mahayuddin, Tengku Hazman Raja Hassan,
Muhammad Juzaili Samion (Shukor Adan), Muhamad Kaironnisam Sahabudin, Rosdi
Talib, Hairuddin Omar (K. Rajan).
MYANMAR: Aung Aung Oo, Min Thu,
Zaw Lynn Tun, Soe Myat Min, Zaw Zaw (Kyaw Thu Ra), Aung Kyaw Moe, Yan Paing,
Lwin Oo, Aung Kyaw Tun, Soe Lin Tun, Htay Aung (Kyaw Khing Win)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dck4TwOB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan