Selasa, 11 April 2017

Rasional kekalahan di Jepun

ARKIB : 12/02/2004

PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Karl Heinz Weigang menganggap kekalahan 4-0 pasukan negara kepada Jepun baru-baru ini seharusnya dilihat dari sudut positif, lapor SYED HISHAM IDRIS.

Weigang yang menyifatkan keputusan itu sebagai `boleh tahan' berkata, para pemerhati bola sepak tempatan seharusnya bersikap lebih rasional dan menerima hakikat bahawa jepun sebenarnya bukan tandingan pasukan negara.

``Saya akui kita memberi gol mudah kepada Jepun terutama ketika separuh masa pertama.

``Bagaimanapun kita tidak memberi ruang langsung dalam tempoh 44 minit berikutnya selepas mereka memperoleh gol keempat pada minit ke-46.

``Mujur kita tidak dibelasah lebih daripada empat gol,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Malaysia tewas empat gol tanpa balas menentang Jepun dalam perlawanan pemanas badan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2006 di Kashima, 7 Februari lalu.

Jepun tidak menurunkan beberapa tonggak utama mereka yang berada di Eropah seperti Junichi Inamoto (Fulham) dan Hidetoshi Nakata di Bologna.

Gol Jepun dijaringkan oleh Mitsuo Ogasawara (11), Tsuneyasu Miyamoto (38), Nobuhisa Yamada (44) dan Yasuhito Endo (46).

Weigang turut memberi alasan pasukan bimbingan K. Rajagopal itu tidak bersedia seratus peratus sebelum perlawanan.

``Keadaan jauh berbeza dengan Jepun yang sebelum itu mengadakan dua perlawanan ujian dengan mencatat keputusan seri menentang Korea dan menewaskan China 2-0.

``Jadi, kekalahan 4-0 di tangan Jepun adalah kekalahan yang boleh diterima.

``Malah Jepun menurunkan lima tonggak utamanya yang beraksi pada Piala Dunia 2002 dalam perlawanan itu,'' katanya.

Dalam masa yang sama, Weigang mengakui pemain negara tidak mempamerkan mutu permainan sebenar dalam perlawanan tempoh hari sebaliknya sering terleka terutama barisan pertahanan.

Jelasnya lagi, pemain negara kerap membuat kesilapan yang tidak sepatutnya seperti tidak mencabar pemain lawan sehingga mereka mudah membuat percubaan ke gawang.

``Cuma pada separuh masa kedua pemain memperbaiki kesilapan sehingga hanya membenarkan Jepun membolosi satu gol sahaja,'' kata Weigang.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Malaysia diletak dalam Kumpulan 4 bersama China, Kuwait dan Hong Kong.

Perlawanan pertama Malaysia ialah menentang Hong Kong di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 18 Februari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4dw3fC1lE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan