Sabtu, 8 April 2017

Bermula cemerlang di Vietnam



ARKIB : 30/11/2003
Daripada MOHD. TAUFEK RAZAK
 
PENYERANG Malaysia, Akmal Rizal Rakhli (jersi 14) cuba melepasi kawalan pemain Kemboja, Sun Sampratna (13) pada perlawanan pembukaan bola sepak Kumpulan B Sukan SEA XXII di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh, semalam. Akmal mencipta hatrik untuk membantu Malaysia menang 8-1. - Gambar AZMAN GHANI.

HO CHI MINH - Skuad bola sepak lelaki negara memulakan cabaran pada Sukan SEA XXII di Vietnam dengan mencatat kemenangan bergaya, membelasah Kemboja 8-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Thong Naht, Ho Chin Minh semalam.

Penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli mencipta hatrik iaitu pada minit ke-49, 51 dan 80 manakala K. Rajan menyumbang dua gol pada minit ke-68 dan 76.

Tiga lagi gol masing-masing dijaringkan permainan pertahanan, Yosri Derma Raju (m-16), Indra Putra Mahayuddin (m-45) dan Juzaili Samion (m-58). Gol saguhati Kemboja dijaringkan Ung Kanyanith pada minit ke-86.

Namun kejayaan itu masih belum boleh dibanggakan kerana selain Kemboja hanya sebuah pasukan lemah, corak permainan yang ditunjukkan skuad negara masih mengundang resah buat jurulatih Allan Harris.

Walaupun lega dengan kemenangan besar itu, Harris berang dengan persembahan pemain bimbingannya yang bermain sambil lewa terutama di babak pertama tetapi memuji gandingan mantap Akmal dan Rajan.

``Selepas ditegur di bilik persalinan pada waktu rehat, pemain cepat memperbaikinya dan ini melegakan saya.

``Tetapi jika mengulanginya ketika bertemu Singapura 3 Disember ini, sukar bagi kita untuk menang kerana mereka lebih baik daripada Kemboja,'' ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak kecewa dengan satu gol yang membolosi gawang Malaysia kerana pemain lain juga perlu diberi peluang untuk beraksi.

``Saya perlu bersikap profesional kerana dalam bola sepak, mana ada pasukan tak ingin menjaringkan gol,'' tegasnya.

Malaysia membuka jaringan ketika permainan berusia 16 minit menerusi sepakan lencong Yosri dari jarak 30 meter dari sebelah kiri selepas menerima sepakan sudut Rajan.

Kemboja bagaimanapun dua kali hampir menyamakan kedudukan menerusi Hok Sotitya tetapi palang dan ofsaid menadi penyelamat pada minit ke-20 dan 31.

Gerakan solo Indra Putra dari tengah padang menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-45 selepas memperdayakan empat pemain Kemboja.

Babak kedua, semangat melawan Kemboja luntur apabila Akmal memulakan hatriknya dengan menjaringkan gol ketiga selepas menampan sepakan percuma Irwan Fadli Idrus sebelum menguis bola ke dalam jaring pada minit ke-49.

Akmal sekali lagi mempamerkan sentuhan berbisanya dengan menyambut hantaran silang Rajan untuk gol keempat pada minit ke-51.

Rajan terus membolosi kawalan pertahanan sebelah kiri Kemboja untuk membolehkan Juzaili pula menyepak masuk dengan mudah gol kelima pada minit ke-58.

Selepas hanya membuka ruang untuk rakannya, giliran Rajan pula menjaringkan gol keenam pada minit ke-68 selepas mendapat umpanan Akmal sebelum menyempurnakan pula gol ketujuh lapan minit kemudian.

Akmal tidak mensia-siakan peluang melakukan hatrik dengan menolak masuk bola pada minit ke-80 untuk gol kelapan negara.

Beberapa pertukaran pemain yang dilakukan Harris selepas itu memberi kesempatan kepada Kemboja menjaringkan gol tunggal mereka menerusi Ung Kanyanith empat minit sebelum permainan tamat. - Utusan

MALAYSIA - Mohd. Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadli Idrus, Abd. Aziz Ismail, Yosri Derma Raju, Indra Putra Mahayuddin (Mohd. Amri Yahyah), Mohd. Mazuki Yusof (Mohd. Norhissham Hassan), Juzaili Samion, K. Rajan, Akmal Rizal Rakhli, Fadzli Saari (Mohd. Harris Kamal)

KEMBOJA - Ouk Mic, Peou Samnang, Ieng Saknida, Samel Nasa, Ung Kanyanith, Hok Sotitya, Chea Virath, Sun Sampratna, Tes Sophat, Morm Visann, Chan Rithy

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4di2Yvb9p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan