ARKIB : 12/07/2004
|
Jurulatih negara, Allan Harris berkata, sesudah penyerang Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Shahrul Nizam Sahat digugurkan, penjaga gol utama negara, Azmin Azram Aziz pula terpaksa diketepikan.
Selain Azmin, penyerang Pahang, Hairuddin Omar dan Mohd. Nizaruddin Yusof dari MPPJ Selangor turut mengalami kecederaan dan mereka juga tidak pasti sama ada dapat diturunkan oleh Harris malam ini.
``Am (Azmin) terpaksa digugurkan daripada senarai menentang Singapura kerana cedera di kakinya belum sembuh. Saya tidak dapat pastikan sekarang siapa (penjaga gol) yang akan menggantikannya,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Azmin mengalami kecederaan di kaki kanannya ketika beraksi untuk Pahang dalam Liga Super minggu lalu.
Selain Azmin, skuad negara memiliki dua lagi penjaga gol iaitu Syamsuri Mustafa dari Terengganu dan penjaga gol MPPJ Selangor, Jamsari Sabian.
Melihat kepada prestasi terkini, Syamsuri kemungkinan akan mengisi tempat Azmin memandangkan dia juga adalah penjaga gol utama pasukan bawah 23 negara.
Di barisan serangan, Harris kini bergantung kepada kebijakan penyerang utama Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
``Gandingan Akmal malam ini juga saya tidak pasti. Saya akan tentukan sebelum perlawanan itu nanti,'' tambah Harris.
Kecederaan Hairuddin dan Nizaruddin kemungkinan menyaksikan Akmal akan digandingkan dengan penyerang Perak, V. Saravanan.
Begitupun, barisan pertahanan kurang membimbangkan Harris kerana pemain tonggak di posisi itu, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadzli Idrus dan Rosdi Talib cergas sepenuhnya.
Begitu juga dengan barisan tengah yang akan dikemudi oleh ketua pasukan, Tengku Hazman Raja Hassan, Shukor Adan, K. Nanthakumar dan Indera Putra Mahayuddin.
Kali terakhir Malaysia bertemu Singapura ialah pada Piala Tiger 2002 yang memihak kepada skuad negara dengan kemenangan 4-0 manakala dalam Sukan SEA tahun lalu, pasukan bawah 23 negara menang 2-0.
Singapura kini dibimbing jurulatih baru, Radojko Avramovic.
Sementara itu tiket untuk menyaksikan perlawanan Malaysia-Singapura berharga RM30 dan RM10 akan mula dijual pada pukul 4 petang ini di Stadium KLFA, Cheras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan