Isnin, 24 April 2017

Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi

ARKIB : 09/07/2004

Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi

PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahyuddin menjalani latihan bersama dengan rakan sepasukan yang lain sebagai persiapan menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan kelab Liga Perdana England, Norwich City, 12 dan 17 Julai ini. - Gambar Nazudeen Mahmud.


PASUKAN bola sepak kebangsaan terpaksa melupakan khidmat penyerang, Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Shahrul Nizam Sahat untuk dua aksi persahabatan dengan Singapura dan Norwich City yang berlangsung minggu depan.
Jurulatih negara, Allan Harris berkata, penyerang Perak, Khalid dan bek Pahang, Shahrul Nizam mengalami kecederaan ketika latihan dan terpaksa digugurkan.
Bagaimanapun, jurulatih dari England itu tidak bimbang dengan ketiadaan dua tonggak itu kerana masih ada pemain yang mampu mengisi tempat mereka.
Selain Khalid, skuad negara memiliki barisan penyerang yang sama wibawa termasuk penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Nizaruddin Yusof (MPPJ), Hairuddin Omar (Pahang) dan V. Saravanan (Perak).
``Saya tidak akan memanggil pemain baru kerana saya fikir barisan pemain yang ada sudah mencukupi,'' katanya ketika ditemui selepas latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Pertemuan dengan Singapura pada 12 Julai ini dan pasukan baru Liga Perdana England, Norwich City pada 17 Julai merupakan tugasan terakhir Harris membimbing skuad kebangsaan sebelum melepaskan jawatannya kepada jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Bicskei dijangka akan membentuk pasukan baru dengan memasukkan beberapa muka baru dalam skuad kendaliannya nanti.
Harris mungkin tidak meletakkan sebarang sasaran kepada skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan itu tetapi tugasnya itu tentulah menyediakan pasukan yang lebih baik dan mantap sebelum `diserahkan' kepada Bicskei.
``Sudah tentu pertemuan dengan Norwich City lebih sukar kerana mereka baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana.
``Pertemuan dengan Singapura pula lebih sekadar memelihara maruah kerana saya tahu Malaysia dan Singapura adalah musuh lama di rantau Asia Tenggara.
``Jadi saya akan melakukan yang terbaik sebelum meninggalkan pasukan ini,'' kata Harris.
Kontrak Harris dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadual tamat Oktober ini.
Bicskei dijangka mula melatih pasukan kebangsaan sebaik tamat perlawanan skuad negara dengan Norwich City.
Beliau akan mengendali pasukan yang akan mengharungi saki baki perlawanan kelayakan Piala Dunia, Piala LG di Vietnam Ogos ini dan Piala Tiger 2004

Tiada ulasan:

Catat Ulasan