Jumaat, 7 April 2017

Kelayakan Piala Asia - Harapan besar menanti Malaysia

ARKIB : 08/10/2003

MALAYSIA meletakkan harapan yang tinggi untuk mencatatkan keputusan yang baik pada pusingan pertama kelayakan Piala Asia yang akan bermula di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Pengurus pasukan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad turut meminta pemain supaya menggunakan pengalaman yang mereka perolehi daripada beberapa perlawanan menentang pasukan Eropah dan England di Kuala Lumpur sejak kebelakangan ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Myanmar pada perlawanan pertama dalam kumpulan itu, beliau yakin Malaysia akan berjaya melepasi halangan pertama itu walaupun tanpa beberapa tunggak utama yang mengalami kecederaan.

Dr. Ibrahim berkata, tanpa penyerang Akmal Rizal Rakhli dan Zainizam Marjan, pemain pertahanan Subri Sulung, Victor Andraq dan Nizam Jamil, barisan skuad negara kini terpaksa pula melepaskan K. Nanthakumar yang menghidap demam campak sejak semalam.

Akmal masih lagi berehat daripada pembedahan apendiksnya sejak hujung bulan lepas sementara Zainizam, Subri Sulung, Victor dan Nizam pula masih mengalami kecederaan dalam kempen Piala Malaysia.

``Bagaimanapun, Azrin Syah Zainal yang pada mulanya diketepikan dalam skuad negara akan dimasukkan semula bagi menggantikan Nanthakumar,'' katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan di Kuala Lumpur semalam.

Mengenai persediaan pasukan negara, Ibrahim berkata walaupun kesemua pemain cuma dapat dikumpulkan selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia pada Ahad lepas, beliau percaya barisan terkini skuad kebangsaan mampu untuk menyaingi lawan mereka. Malaysia berada dalam kumpulan F bersama Iraq, Bahrain dan Myanmar.

Kali terakhir Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia ialah pada 1980 di Kuwait.

Perlawanan pusingan kedua akan diadakan di Manama, Bahrain dari 20-24 Oktober sementara perlawanan akhir di China, Julai tahun depan.

``Saingan kita dalam kumpulan F sebenarnya bukan calang-calang pasukan. Iraq contohnya berada di tangga ke-62 ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan ke-6 di Asia. Bahrain pula di tangga ke-109 dan ke-17 di Asia.

``Malaysia pula berada di tempat ke-115 FIFA dan ke-19 di Asia. Cuma Myanmar berada di tangga ke-139 dunia dan ke-24 Asia,'' katanya.

Ibrahim bagaimanapun berkata pendedahan skuad negara sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris Piala Asia, Julai lepas merupakan aset pasukan negara untuk menghadapi lawan yang lebih baik.

``Kali terakhir skuad negara dikumpulkan ialah pada minggu lepas dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Indonesia di Bukit Jalil,'' katanya. Dalam perlawanan tersebut Malaysia dan Indonesia seri 1-1.

Skuad negara akan memulakan kempen mereka dengan menentang Myanmar malam ini sebelum bertemu Iraq pada Jumaat dan Bahrain pada Ahad.

Sementara itu, penolong jurulatih Myanmar Sof Naing berkata pasukannya dibarisi pemain lama dan baru yang dikumpulkan dua bulan lepas.

``Majoriti pemain ialah mereka yang beraksi pada Sukan SEA lepas. Pasukan baru terdiri daripada enam pemain baru. Jadi kita mahu mencuba gandingan mereka di sini,'' katanya.

Beliau berkata acara antarabangsa terakhir mereka ialah pada Mac di Jepun.

Mengenai perlawanan menentang Malaysia malam ini beliau berkata beliau tidak mahu membuat ramalan siapa yang akan menang kerana kedua-dua pasukan akan mencuba yang terbaik untuk layak ke China tahun depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcidU1sQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan