Isnin, 24 April 2017

Malaysia dapat laluan mudah

ARKIB : 08/07/2004
MALAYSIA mendapat laluan agak mudah untuk ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) apabila diundi bertemu Timor Leste untuk perlawanan pertama yang akan berlangsung pada Disember ini.
Namun jika rekod Malaysia yang belum pernah menjadi juara kejohanan dwi-tahunan itu diambil kira, tugas berat pasti menanti Bertalan Bicskei yang bakal mengambil alih tugas jurulatih daripada Allan Harris secara rasmi pada Oktober.
Tetapi, daripada kata-katanya, Bicskei dari Hungary kelihatan yakin bahawa beliau mampu memikul tugasan itu dengan cemerlang pada Kejohanan AFF memandangkan Malaysia mendapat undian yang disifatkannya agak memihak kepada pasukan negara.
``Saya tidak tahu banyak mengenai pasukan-pasukan lawan, tetapi daripada rakaman video, pemain-pemain mereka tidaklah tinggi tetapi pantas,'' kata Bertalan kepada pemberita selepas majlis undian Kejohanan AFF di Hotel PJ Hilton, Petaling Jaya semalam.
``Tetapi saya percaya undian ini agak selesa buat kita,'' tambah beliau.
Malaysia dijangka melepasi perlawanan pertama dengan mudah apabila diundi bertemu pasukan jemputan, Timor Leste pada 8 Disember.
Malaysia diundi ke dalam Kumpulan B. Halangan utama skuad negara di peringkat kumpulan ialah juara bertahan dan pemenang tiga kali, Thailand.
Dua lagi pesaing Malaysia di fasa pertama kumpulan itu, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur ialah Myamnar dan Filipina.
Naib juara sebelum ini, Indonesia pula mengetuai persaingan Kumpulan A yang akan bersaing di Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam.
Menanti mereka ialah Vietnam, Kemboja, Laos dan juara 1998, Singapura.
Dari segi rekod, Malaysia merupakan naib juara kepada Thailand dalam kejohanan pertama pada 1996, di tempat ketiga pada 2000 dan keempat pada edisi terakhir dua tahun lepas.
Sebelum Kejohanan AFF, Bicskei akan mendapat gambaran mengenai kemampuan pasukannya apabila mereka menyertai Piala LG di Vietnam bulan depan.
Bertalan telah pun mendapat serba sedikit mengenai aksi pemain-pemain Malaysia setelah beliau menyaksikan Perak menentang Pahang dalam persaingan Liga Super di Ipoh Sabtu lepas.
``Ada beberapa pemain yang bagus dalam perlawanan itu, tetapi ia baru satu perlawanan, jadi masih terlalu awal untuk berkata apa-apa,'' jelas beliau.
Kejohanan AFF edisi kali ini memperkenalkan format baru apabila buat pertama kali akan dilangsungkan di dua buah bandar raya, iaitu Kuala Lumpur dan Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam.
Buat pertama kali juga peringkat separuh akhir kejohanan ini akan dilangsungkan secara timbal balik.
Ia bermakna, selain Malaysia dan Vietnam, negara lain turut berpeluang menjadi tuan rumah dengan syarat mereka layak ke pusingan empat pasukan terbaik itu.
Keyakinan Bertalan itu turut disokong pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.
Bagaimanapun beliau sekadar meletakkan sasaran untuk mara ke kelompok empat pasukan terbaik.
``Saya yakin Malaysia mampu layak ke separuh akhir,'' katanya. ``Perlawanan dengan Myanmar ialah penentuan untuk mencapai hasrat ke separuh akhir. Tetapi daripada pertemuan sebelum ini, saya yakin kita mampu menewaskan mereka.''
KUMPULAN A:
(Ho Chi Minh)
Indonesia, Vietnam, Singapura, Laos, Kemboja
KUMPULAN B
(Kuala Lumpur)
Thailand, MALAYSIA, Myanmar, Filipina, Timor Leste
JADUAL (Malaysia sahaja)
lwn Timor Leste
- 8 Disember
- lwn Filipina - 10 Disember
- lwn Myanmar
- 12 Disember
- lwn Thailand - 14 Disember
Malaysia menumpaskan Myanmar pada Sukan SEA di Vietnam tahun lepas dan mengulanginya dua kali berturut-turut pada kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur dan Manama, Bahrain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan