Jumaat, 28 April 2017

Rajagopal akui tugas sukar

ARKIB : 15/09/2004
JURULATIH K. Rajagopal menganggap satu misi yang sukar dalam tempoh 12 hari membentuk sebuah pasukan yang mantap buat skuad bawah 20 tahun menggalas cabaran di Kejohanan Bola Sepak Belia Piala Asia bermula 25 September ini.
Rajagopal dilantik sebagai jurulatih baru skuad bawah 20 tahun kebangsaan menggantikan Jorvan Vieira dari Brazil yang dipecat oleh Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa semalam.
``Saya tidak menjanjikan apa-apa, tempoh 12 hari amat singkat dan sesuatu yang ajaib untuk menjanjikan pasukan yang cukup mantap.
``Walau apapun saya akan cuba sedaya upaya dengan tempoh masa yang begitu singkat untuk melakukan yang terbaik,'' ujar Rajagopal yang sudah memulakan tugas mengendali sesi latihan singkat di Stadium Bukit Jalil, semalam.
Beliau mengakui tugas yang amat sukar untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap buat menggalas cabaran getir di kejohanan Belia Piala Asia minggu depan.
Ujarnya, mana-mana jurulatih pasti akan mengakui tempoh masa yang singkat tidak mudah menjanjikan kejayaan buat sesebuah pasukan.
``Tawaran ini saya terima dan saya akan cuba melakukan yang terbaik.
``Untuk saya berjanji pasukan ini akan mara ke suku akhir itu tidak dapat saya katakan, tunggu dan lihat,'' tegasnya.
Dalam saingan Belia Piala Asia, Malaysia diletakan bersama pasukan pilihan Jepun, Vietnam dan Nepal.
Skuad kebangsaan akan memulakan kempen pertamanya menentang Vietnam di Stadium Larkin, pada 25 September ini diikuti Jepun (27 September) dan perlawanan terakhir bertemu Nepal (29 September).
Sebagai langkah awal, kata Rajagopal, beliau dan pembantunya Aminuddin Hussin akan menilai prestasi dan posisi pemain.
Ujarnya, beliau tidak mempunyai banyak pilihan ke atas 25 pemain yang telah didaftarkan dan cuba untuk mengatasi setiap kelemahan yang ada.




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan