ARKIB : 24/09/2004
PEMAIN bola sepak skuad kebangsaan bawah 20 tahun perlu mempamerkan persembahan terbaik menentang Vietnam pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Kejohanan Belia Piala Asia yang berlangsung di Stadium Larkin, Johor Bahru, esok.
Jurulatih K. Rajagopal berkata, ini termasuklah dengan mempamerkan corak permainan berpasukan sebagai langkah yang mampu memberikan persembahan terbaik.
``Pemain diajar corak permainan mudah tetapi perlu menyedari setiap gerak langkah pemain lawan agar pintu gol negara tidak bolos dengan mudah,'' katanya ketika ditemui di Kompleks Nusa Mutiara, semalam.
Rajagopal dilantik sebagai jurulatih skuad tersebut pada 15 September lalu menggantikan Jorvan Vieira dari Brazil.
Rajagopal bagaimanapun, mahu setiap pemain dapat memahami corak permainan yang difikirkan supaya mereka tidak terburu-buru dalam mengambil tindakan untuk memecah kubu lawan.
Katanya, walaupun kurang memberi segala ramuan yang diperlukan ke tahap yang sebenarnya tetapi pemain mempunyai keyakinan tinggi mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan itu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, para pemain memberi komitmen yang tinggi pada setiap latihan yang diadakan.
``Pemain sedar apa kehendak yang dimahukan supaya mereka bermain ke tahap yang diingini.
``Kita memberi motivasi dan keyakinan kepada mereka dengan seberapa banyak informasi dalam membentuk corak permainan terbaik dan tidak memandang mudah pemain lawan ketika berada di padang nanti,'' katanya.
Mengenai kesebelasan utama, Rajagopal berkata, beliau memerlukan masa dalam tempoh terdekat untuk menyenaraikan pemain terbaik menentang Vietnam nanti.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan