Jumaat, 28 April 2017

Kita hanya menang tipis

ARKIB : 26/09/2004
PASUKAN muda negara memulakan aksi bertenaga apabila menumpaskan Vietnam 1-0 dalam saingan Kumpulan A bola sepak Belia Piala Asia yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin Johor Bahru, malam tadi.
Selepas terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, Malaysia bangkit menggandakan usaha untuk aksi berikutnya dengan menghasilkan gol kemenangan menerusi tendangan bebas sentuhan K. Linggam pada minit ke-60.
Tendangan itu diperoleh selepas pemain Malaysia, Mohd. Zqauan Adha Abd. Radzak dikasari oleh salah seorang pemain pertahanan Vietnam.
Linggam tidak menghadapi kesukaran dengan bola tendangannya meluru masuk melepasi jangkauan penjaga gol Vietnam, Duc Cuong Tran sambil menerima sorakan kira-kira 5,000 penonton yang menyaksikan perlawanan.
Begitupun dalam babak pertama, Vietnam lebih banyak mengatur gerakan dan asakan ke kubu Malaysia.
Pada minit ke-20 babak pertama, Malaysia meraih peluang pertama apabila berlaku satu pergelutan di depan pintu gol Vietnam tetapi pertahanan lawan berjaya mematahkan percubaan itu.
Vietnam bangkit memberikan tentangan dan pada minit ke-40, giliran pasukan pelawat pula untuk mendapat peluang terbaik menghasilkan gol tetapi bola percubaan Tien Thanh Mai terkena palang.
Dalam perlawanan terdahulu, pasukan pilihan dalam kumpulan ini, Jepun bermula cemerlang dengan membelasah Nepal 3-0.
Jepun mendahului 2-0 dalam babak pertama. Gol pembukaan dijaringkan pada minit ke-14 menerusi gerakan cantik Takuya Kokeguchi yang melorongkan bola untuk Hokuto Nakamura melakukan tindakan penyudah.
Penjaga gol Nepal, Bikash Malla terus diuji dan kesilapan barisan pertahanannya yang gagal mengawal Sota Hirayama memberi peluang kepadanya membuat satu rembatan ke gawang gol pada minit ke-33 setelah menerima satu hantaran lintang dari penjuru padang.
Jepun menutup kecemerlangan mereka dengan jaringan pada minit ke-58 oleh pemain gantian, Hiroki Nakayama untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Sementara itu, dalam aksi Kumpulan B di Stadium KLFA, Cheras, pasukan pilihan, China sekadar seri tanpa jaringan dengan Iran.
Walaupun mendominasi babak perlawanan dengan diterajui penyerang muda, Dong Fang Zhuo yang mewakili Manchester United tetapi kini dipinjamkan kepada kelab Belgium, Royal Antwerp, China sukar menembusi pertahanan Iran.
Emad Al-Dahri pula membantu Qatar mencatat kemenangan pertama menewaskan Indonesia 1-0. Qatar yang pernah muncul naib juara pada 1980 menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-10




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan