Sabtu, 29 April 2017

Skuad kebangsaan dirombak

ARKIB : 09/10/2004
SKUAD bola sepak kebangsaan mengalami rombakan besar dalam barisan pemain untuk dua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia minggu depan dengan ramai muka baru diketengahkan dan beberapa pemain regular pula diketepikan, lapor JOHARI SHAWAL.
Senarai pasukan berwajah baru itu diumumkan oleh jurulatih baru kebangsaan, Bertalan Bicskei untuk perlawanan menentang Hong Kong dan Kuwait minggu depan.
Antara pemain regular yang diketepikan ialah pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah, Khaironnisam Shahabudin, Irwan Fadli Idrus, penyerang Mohd. Nizaruddin Yusoff, Eddy Helmi Manan, pemain tengah, Juzaili Samion, Mohd. Shukor Adan serta penjaga gol, Azmin Azram Aziz, Jamsari Sabian, Kamarulzaman Mohamad dan Mohd. Sany Fahmi.
Bisckei pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berkata, sebahagian besar pemain regular terpaksa diketepikan kerana cedera selain memberi peluang kepada pemain baru.
``Khaironisam, Eddy, Juzaili, Shukor, Jamsari dan Kamarulzaman mengalami kecederaan dan Shukor pula digantung perlawanan.
``Jadi kita terpaksa mengambil ramai pemain baru. Selain daripada menggantikan mereka ini, ia adalah sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Tiger,'' katanya.
Menurut jurulatih dari Hungary itu, yang menggantikan Allan Harris dari England, kenyataan bahawa Malaysia sudah tiada peluang untuk memberi saingan dalam kelayakan Kumpulan 4 Piala Dunia menjadi faktor perubahan besar pasukan kebangsaan.
``Kita sudah tiada peluang, oleh itu saya jadikan dua perlawanan ini sebagai persiapan kita untuk Piala Tiger,'' katanya.
Selepas empat perlawanan yang dikendalikan oleh Harris, skuad Malaysia kini berada di tangga terbawah Kumpulan 4 tanpa sebarang mata setelah tewas keempat-empat perlawanan.
Mereka tewas 3-1 kepada Hong Kong, Kuwait (2-0), China (4-0 dan 1-0).
Tanggungjawab bagi baki dua perlawanan di gelanggang lawan iaitu menentang Hong Kong Rabu ini dan Kuwait pada 17 November depan kini dipikul oleh Bicskei.
``Perlawanan menentang Hong Kong saya anggap perlawanan pertama persiapan pasukan untuk Piala Tiger.
``Kemudian kita akan bermain persahabatan dengan Singapura pada 1 November dan Emiriah Arab Bersatu pada 12 November sebelum menentang Kuwait untuk perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia.
Bagaimanapun Bisckei berkata, senarai pemain itu bukanlah barisan terakhir untuk Piala Tiger.
Pada Piala Tiger yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula 7 Disember ini, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Filipina, Myanmar, Timor Leste dan Thailand.
Manakala Kumpulan A yang akan bermain di Bandar Raya Ho Chi Minh ialah Vietnam, Singapura, Indonesia, Laos dan Kemboja

Tiada ulasan:

Catat Ulasan