ARKIB : 19/11/2004
Tetapi amat mengaibkan apabila skuad bimbingan jurulatih, Bertalan Bicskei dari Hungary itu kalah dengan jaringan besar.
Malaysia membenarkan Kuwait berpesta gol apabila menang 6-1.
Kalah atau menang adat pertandingan namun kekalahan dengan jaringan besar memalitkan malu bukan kepalang buat Malaysia.
Untuk memburukkan lagi keadaan, skuad negara menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia kali ini tanpa sebarang mata apabila kalah dalam kesemua enam perlawanan.
Malaysia kalah 1-3 dan 0-2 kepada Hong Kong, 0-4 dan 0-1 kepada China. Sebelum dibelasah 6-1, Malaysia juga tewas 0-2 kepada Kuwait.
Skuad Olimpik negara menempuh situasi yang serupa apabila gagal ke Athens sekali gus menyaksikan musim paling kelam menyelubungi sukan bola sepak negara.
Situasi itu tentunya dapat menceritakan betapa mutu dan kualiti permainan pasukan kebangsaan masih ditakuk lama atau layak diberi nama `pasukan badut' sahaja.
Mungkin jolokan itu dilihat kasar dan keterlaluan untuk diterima oleh pemimpin tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk peminat dan pemerhati bola sepak tanah air.
Tetapi itulah realiti melihat aksi serba tidak mengena hingga pemain Malaysia mudah diperkotak-katikan oleh Kuwait.
Apa lagi alasan yang mahu diberikan oleh FAM ketika jurulatih luar dan tempatan silih berganti mewarnai bola sepak Malaysia.
Claude Le Roy, Allan Harris, Frank Lord, Hatem Souissi, Trevor Hartley dan Ken Worden adalah antara mereka yang pernah membimbing pasukan bola sepak negara namun tidak ada keputusan yang boleh kita banggakan.
Apakah saban masa kita asyik mendeklamasikan secara berulang-ulang sajak kecemerlangan serta kejayaan dan rekod gemilang yang pernah dicapai pada masa silam apabila kita layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow selain menjuarai Pestabola Merdeka dan Sukan SEA.
Satu persoalan yang besar perlu diteliti dan dinilai semula oleh warga FAM untuk mencari penyelesaian kepada gejala lembik skuad bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Adakah Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugan, Datuk Soh Chin Aun dan beberapa nama lagi memakan makanan yang berbeza dengan pemain sekarang atau tinggal di istana kayangan serta diulit kemewahan hingga menjadikan mereka cukup hebat untuk sekurang-kurangnya ditandingi kalaupun tidak dapat diatasi oleh pemain sekarang?
FAM perlu bangun daripada tidur dan mimpi indah mereka yang panjang untuk melihat kembali pelaburan rugi mereka apabila mendapatkan jurulatih, pengarah teknikal dan pengarah kejurulatihan dan lain-lain jawatan di kalangan tenaga import.
Cubalah ubah persepsi dan memberi kepercayaan kepada tenaga tempatan terutamanya untuk jangka masa panjang.
Janganlah kera di hutan disusukan sedangkan anak sendiri kelaparan.
Mungkin FAM boleh memikirkan tenaga jurulatih tempatan dengan memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kewibawaan.
Sebaliknya, belanja besar membawa tenaga import itu boleh disalurkan kepada usaha untuk menghantar jurulatih sendiri mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.
Jika tidak, nasib bola sepak negara akan menjadi seperti dinosaur (mati ditelan zaman)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan