Sabtu, 8 April 2017

Kelayakan Piala Asia pusingan kedua - Malaysia kena belasah teruk



ARKIB : 21/10/2003

Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

MANAMA, Bahrain - Malaysia memilih laluan berliku apabila dibelasah teruk 5-1 oleh Iraq dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua Kumpulan F bola sepak kelayakan Piala Asia 2004, di Stadium Nasional, di sini, semalam.

Hajat untuk mengikat Iraq sebagaimana dilakukan dalam pusingan pertama gagal, sebaliknya kekalahan teruk itu memberi tekanan kepada Malaysia yang seharusnya mencari kemenangan ke atas pasukan tuan rumah Bahrain esok untuk mencerahkan harapan menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua supaya hasrat ke pusingan akhir di Beijing tahun depan tercapai.

Dalam perlawanan pusingan pertama, Malaysia menang 4-0 ke atas Myanmar dan berjaya mengikat Iraq tanpa jaringan sebelum seri 2-2 dengan Bahrain.

Bahrain pula menang 3-1 ke atas Myanmar tetapi dibelasah 5-1 oleh Iraq untuk meletakkannya di tempat ketiga dalam pusingan pertama.

Semalam, giliran Malaysia pula menerima padah dengan Younis M. Khalaf, penjaring terbanyak Iraq, menunjukkan belangnya apabila menghasilkan hatrik minit ke-35, 45 dan 62 manakala dua gol lagi disumbangkan Qussi H. Salah (minit 19) Husam F. Nagi (minit 70).

Gol tunggal skuad negara pula dihasilkan Hairuddin Omar pada minit ke-52.

Pasukan negara turut mengatur asakan sebaik bermula babak pertama tetapi ketumpulan barisan serangan menyaksikan percubaan-percubaan diatur gagal menembusi benteng pertahanan Iraq.

Tekanan Iraq memaksa pemain pertahanan Abdul Aziz Ismail membuat kesilapan apabila mengkasari Haythem K. Taher pada minit ke-18 di luar kotak penalti skuad kebangsaan untuk sepakan percuma.

Ahmad K. Assad melakukan rembatan ke penjuru gawang Malaysia tetapi penjaga gol, Mohd. Syamsuri Mustafa sempat menepis percubaan minit ke-18.

Petanda kemenangan Iraq akhirnya menjelma apabila sepakan sudut Jassim F. Fayadh ditanduk ke belakang oleh Ahmed M. Abbas untuk rakannya, Qussi menanduk masuk jaringan minit ke-19.

Kelemahan skuad kebangsaan membawa padah apabila Younis mudah menggelecek dua pemain pertahanan skuad kebangsaan, Abdul Aziz dan Rosdi Talib sebelum merembat ke dalam gawang pada minit ke-35.

Younis sekali lagi bertindak bijak melepasi kawalan Khaironnisam Sahabuddin untuk merembat kencang mengatasi penjaga gawang Mohd. Syamsuri pada minit ke-45 untuk Iraq mendahului 3-0.

Pada babak kedua, Malaysia cuba mengasak Iraq yang menyaksikan sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin ditanduk ke belakang oleh Mohd. Fadzli Saari untuk Hairuddin menendang masuk jaringan minit ke-52.

Namun, Younis sekali lagi memberi ancaman kepada skuad kebangsaan apabila bertindak bijak memperdayakan pemain pertahanan Mohd. Khaironnisam Sahabuddin sebelum mencipta jaringan ketiganya pada minit ke-62. Ketua pasukan Iraq, Husam menambah derita skuad negara apabila menolak masuk gol minit ke-70 untuk Iraq melakar kemenangan bergaya 5-1.

MALAYSIA: Mohd. Syamsuri Mustafa, Abdul Aziz Ismail, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin, Mohd. Fadzli Saari (Irwan Fadzli Idrus), Rosdi Talib, Yosri Ali Derma Raju, Mohd. Shukor Adan, Tengku Hazman Raja Hassan (Juzaili Sameon), Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar.

IRAQ: Saad N. Jamel, Haedr J. Kadhim (Ali Waheeb), Jassim S. Fayadh, Haythem K. Taher, Rafed B. Ahmad, Husam F. Nagi, Haydar A. Jassim (Nasir TaliB), Ahmed K. Assad, Qussi H. Salah, Ahmed M. Abbas, Younis M. Khalaf.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ddzdYWko
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan