Selasa, 11 April 2017

Misi penting kalahkan Hong Kong

ARKIB : 16/02/2004

MALAYSIA perlu menang ke atas Hong Kong dalam perlawanan pembukaan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2006 di Kuantan, Rabu ini untuk menebus kekalahan 4-0 kepada Jepun dalam aksi persahabatan di Kashima, awal bulan ini.

Malah, pertemuan itu juga akan menentukan sama ada skuad senior kebangsaan memerlukan beberapa perubahan dalam barisan pemainnya sebelum meneruskan cabaran.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menuntut para pemain kebangsaan supaya memberikan persembahan terbaik untuk memenangi pertemuan penting itu.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pemain harus sedar tanggungjawab mereka dan bermain dengan sepenuh hati serta rasa bangga.

``Kami harap untuk mencapai kemenangan pada perlawanan pembukaan kelayakan Piala Dunia, Rabu ini,'' kata Tengku Abdullah selepas mesyuarat exco FAM di Kuala Lumpur, semalam.

``Kemenangan ke atas Hong Kong bukan saja untuk menentukan arah tuju pasukan kebangsaan dalam saingan kelayakan ini, malah penting untuk menebus kekalahan mereka kepada Jepun minggu lalu.''

Selain Hong Kong, yang dianggap pasukan paling lemah dalam Kumpulan Empat, Malaysia turut diletakkan bersama China, yang beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama pada 2002 serta Kuwait.

Sementara itu FAM semalam mengumumkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ibrahim Saad kekal sebagai pengurus pasukan kebangsaan.

Ibrahim akan menguruskan kedua-dua skuad kebangsaan iaitu senior dan bawah 23 tahun, yang akan menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2004.

Menurut Ibrahim, walaupun pasukan negara ini semakin matang, namun beliau tidak menolak kemungkinan akan membawa masuk muka baru selepas tamat perlawanan dengan Hong Kong.

``Kita tunggu perlawanan Rabu ini sebelum membuat apa-apa yang dianggap sesuai untuk perlawanan akan datang,'' katanya.

``Kita ada dua pilihan, sama ada memanggil pemain baru atau menyerapkan pemain daripada skuad bawah 23, ia akan ditentukan kemudian.''

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dxFVFcHo
© Utusan Melayu (M) Bhds

Tiada ulasan:

Catat Ulasan