PEMAIN Malaysia, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dibentes
oleh pemain Iran, Kabei Hossein dalam perlawanan bola sepak kelayakan
Kumpulan A Sukan Olimpik, di Kelana Jaya, semalam. Iran menang 4-1.
MALAYSIA jelas bukan tandingan Iran dalam aksi bola sepak kelayakan
Kumpulan A Sukan Olimpik apabila tunduk mudah 4-1 dalam perlawanan di
Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, semalam.
Biarpun menggamatkan kira-kira 10,000 penyokong sendiri apabila Mohd.
Fadzli Saari membuka jaringan pada minit ke-34, skuad juara Sukan Asia
mudah membalas dengan empat gol dengan dua gol dihasilkan pada baki lima
minit babak pertama dan dua lagi menyusul pada separuh masa kedua.
Arash Borhani menyamakan kedudukan pada minit ke-41 dan Mehrzad
meletakkan Iran di depan sebelum waktu rehat dua minit kemudian. Pemain
tengah berbahaya Iran, Iman Mobali menambah dua gol pasukannya pada
minit ke-58 dan sepakan penalti minit ke-70. Begitupun, skuad negara
bimbingan Allan Harris agak garang pada awal permainan.
Fadzli hampir memberikan gol pendahuluan pada minit kesembilan
apabila menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin tetapi percubaan pemain
itu tersasar walaupun penjaga gol Iran, Seyed Mahdi Rahmati tidak berada
pada posisi yang betul.
Bagaimanapun, Fadzli akhirnya menemui sentuhan yang dicari-cari pada
minit ke-34 menerusi satu lagi sepakan percuma. Sepakan Indra ke gawang
ditanduk rendah oleh Akmal ke sebelah kiri gawang Iran tetapi Seyed
sempat melayangkan badan menguis bola yang mengenai tiang gol. Namun,
bola yang melantun kembali ke tengah disambar oleh Fadzli yang mudah
menolak masuk untuk menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong tuan
rumah.
Iran yang membariskan sekurang-kurangnya enam pemain yang menjuarai
Sukan Asia dua tahun lalu tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan
yang diperoleh pada minitke-41. Mehrzad mengambil peluang daripada
keadaan kelam kabut dalam kubu Malaysia dengan merembat kencang yang
ditampan Syamsuri tetapi benteng negara gagal mengekang sepakan susulan
Arash yang terus menyepak masuk bola muntah.
Gol kedua Iran menyusul dua minit kemudian menerusi tandukan mudah
Mehrzad yang langsung tidak dikawal hasil sepakan sudut yang diambil
ketua pasukan, Javad Kazemeyan.
Barisan serangan Iran mula mempamerkan mutu aksi sebenar pasukan dari
negara Arab itu pada babak kedua yang menambah dua lagi gol. Sepakan
terus dari luar kotak penalti dari jarak 30 meter oleh Iman terkena
badan Aziz Ismail yang gagal diselamatkan Syamsuri untuk gol ketiga Iran
pada minit ke-58.
Iman menambah derita skuad negara dengan gol keempat pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti selepas Arash dikasari.
Skuad negara berusaha merapatkan jaringan tetapi Akmal dan Safee Sali
yang masuk menggantikan Surendran gagal melepasi benteng kebal Iran.
MALAYSIA Mohd. Syamsuri Mustafa, Abd. Aziz Ismail, Irwan Fadzli
Idrus, Ronny Harun, M. Ravinthiran, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli
Saari, Horhisham Hassan (Fauzi Saari), K. Rajan, R. Surendran (Mohd.
Safee Sali), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
IRAN Seyed Mahdi Rahmati, Jalal Kameli (Morteza Ebrahimi), Morteza
Kashi, Mohamad Nosrati, Ali Badavi, Mehrzad Madanchi, Hossein Kobei,
Morteza Iazadi, Iman Mobali (Moharram Navidkia), Arash Borhani, Javad
Kazemeyan (Seyed Rasool).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4eEhQppx1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan