ARKIB : 14/10/2003
Oleh A. Jailani Abdullah
MAMPUKAH bendera negara kali
terakhir berkibar di pusingan akhir bola sepak Piala Asia selepas kali terakhir
melakukannya pada 1980 - 23 tahun lepas.
Ketika kali terakhir layak hampir
suku abad lalu, ia bermakna hampir keseluruhan pemain yang ada dalam skuad
kebangsaan sekarang baru mengenal bola sepak. Malah sebahagiannya baru belajar
bertatih.
Skuad negara pernah beraksi
sebanyak lima kali di pusingan akhir sebelum ini dengan kali terakhir pada
kejohanan yang berlangsung di Kuwait.
Kini, selepas gagal dalam lima
percubaan, generasi baru membuka peluang untuk Jalur Gemilang berkibar di
pusingan akhir yang akan berlangsung di Beijing, China tahun depan.
Selepas berakhirnya tiga
perlawanan dalam pusingan pertama kelayakan Kumpulan F di Stadium Nasional,
Bukit Jalil kelmarin Malaysia menduduki tempat kedua dengan lima mata. Iraq
merupakan skuad terunggul ketika ini dengan tujuh mata.
Malaysia memulakan kempen dengan
membelasah Myanmar 4-0, seri dengan Iraq 0-0 dan mempamerkan kebangkitan
mengkagumkan untuk mencatat seri 2-2 dengan Bahrain.
Iraq di tangga teratas setelah
dua kali menang dan sekali seri manakala Bahrain, yang akan menjadi tuan rumah
pusingan kedua nanti di Manama dari 20 hingga 24 Okt ini, menduduki tangga
ketiga dengan empat mata hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri. Myanmar
di tangga terbawah tanpa mata.
Berdasarkan format baru, Piala
Asia 2004 melibatkan 16 pasukan - pertambahan empat tempat daripada kejohanan
empat tahun lepas.
Peringkat kelayakan terbahagi kepada
tujuh kumpulan - dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke pusingan akhir.
Baki dua tempat diisi secara automatik oleh tuan rumah, China dan juara
bertahan, Jepun.
Setakat ini, hanya Kuwait yang
telah melayakkan diri daripada pusingan kelayakan.
Persembahan skuad negara pada
pusingan pertama tidak begitu menyerlah dibandingkan kehebatan Iraq dan
Bahrain.
Namun, semangat menjadi kunci
kepada kejayaan skuad negara mengukir keputusan seri dengan kedua-dua pasukan
pilihan awal itu.
Malah sebelum kempen bermula,
skuad negara dilanda oleh masalah kecederaan yang memaksa jurulatih Allan
Harris menggugurkan lima pemain tonggak.
Penyerang utama, Akmal Rizal
Rakhli menjalani pembedahan apendisitis manakala pemain tengah, K. Nanthakumar
diserang demam campak. Penyerang Sabah, Zainizam Marjan, pemain pertahanan
Subri Sulong dan Nidzam Jamil pula cedera sebelum saingan bermula.
Harris juga tidak dapat
mengumpulkan pemain-pemain untuk latihan lebih lama kerana persaingan Piala
Malaysia yang hanya berakhir pada 4 Oktober lepas.
Kekurangan perlawanan yang
kompetitif menyaksikan skuad negara lambat mendapat rentak pada perlawanan
pertama dengan Myanmar.
Namun, kelemahan utama yang perlu
diperbaiki ialah hantaran bola yang kurang kemas dan masalah ini begitu menonjol
dalam ketiga-tiga perlawanan mereka.
Malaysia kemudian mempamerkan
pertahanan mantap, dan bernasib baik kerana tidak dibolosi oleh para penyerang
skuad Iraq yang membedil benteng negara dengan percubaan bertubi-tubi dan
kemudian mempamerkan kebangkitan dramatik untuk mengikat Bahrain.
Pusingan kedua tentu lebih sukar
kerana Bahrain memiliki kelebihan penyokong sendiri di Manama, tetapi jika
mereka terus mengekalkan semangat tidak mengenal putus asa, tiada tembok yang
mampu menghalang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcvoWgMu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan