Ahad, 30 April 2017

Medan tebus badi Kuwait

ARKIB : 28/11/2004
KEKALAHAN memalukan skuad bola sepak kebangsaan 1-6 kepada Kuwait dalam saingan terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia yang lalu, masih menghantui jurulatih, Bertalan Bicskei.
Biarpun kekalahan paling memalukan sudah berlalu hampir sepuluh hari namun jurulatih berasal dari Hungary tetap hairan bagaimana skuad bimbingannya boleh rebah begitu mudah.
Menurutnya, kekalahan itu sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan persiapan menghadapi saingan Piala Tiger pada 8 Disember ini.
``Saya masih tidak tahu bagaimana Malaysia boleh kalah teruk, kita bermain baik pada separuh masa pertama tetapi pada masa kedua bermain lebih buruk,'' ujarnya pada sidang akhbar pengurus-pengurus pasukan Piala Tiger semalam.
Buat Bicskei, kekalahan memalukan itu tidak akan berulang lagi khususnya menghadapi Piala Tiger.
``Ini adalah medan terbaik untuk menebus maruah dan saya tidak mahu memberikan sebarang harapan.
``Tetapi peluang kita untuk ke separuh akhir adalah cerah,'' ujarnya.
Malaysia akan memulakan kempen saingan pertama bertemu pasukan baru Timor Leste di Stadium Bukit Jalil pada 8 Disember disusuli bertemu Filipina (10 Disember), Myanmar (12 Disember) dan perlawanan terakhir menentang Thailand (14 Disember).
Menurutnya, beliau masih menyandarkan sebahagian besar pemain yang menggalas cabaran ketika saingan pusingan kelayakan Piala Dunia termasuk ketika tewas memalukan kepada Kuwait.
Mengulas mengenai lawan Malaysia dalam Kumpulan B, Bicskei berkata, beliau tidak memandang rendah semua pasukan termasuk muka baru Timor Leste.
Sambil mengakui juara tiga kali Piala Tiger, Thailand menjadi pilihan Bicskei tetap menghormati Timor Leste, Filipina dan Myanmar.
``Sikap memandang mudah ke atas lawan lain boleh mengundang masalah dan adalah lebih baik menanggap semua pasukan adalah lawan yang kuat,'' ujarnya.
Tanpa penyerang lincah Akmal Rizal Rakhli kata Bicskei, beliau bergantung harapan kepada Mohd. Khalid Jamlus, V. Saravanan dan Indra Putra Mahayuddin untuk mengetuai jentera serangan.
Ujar jurulatih itu lagi, beliau yakin keupayaan gandingan pemain tersebut untuk meledakkan jaringan memastikan Malaysia mencapai kemenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan