Rabu, 12 April 2017

Pertemuan Malaysia, Hong Kong dijangka sengit



ARKIB : 17/02/2004

PASUKAN Hong Kong dijangka menyajikan aksi menarik apabila menentang skuad kebangsaan perlawanan pembukaan kelayakan bola sepak Piala Dunia 2006 yang akan dilangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok lapor AIZAWATI AHMAD.

Perlawanan tersebut sudah tentunya menjadi pentas untuk pasukan tersebut membalas dendam ke atas pasukan kebangsaan yang pernah menumpaskan Hong Kong 2-0 pada kejohanan yang sama pada 2001.

Bagi skuad kebangsaan pula, kemenangan sudah tentu menjadi idaman bagi memulihkan maruah yang kian tercalar sejak kekalahan dengan Jepun pada perlawanan persahabatan di Kashima awal bulan ini.

Jurulatih pasukan Hong Kong, Lai Sun Cheung ketika ditemui semasa sesi latihan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkata, semua pasukan sudah tentunya mahukan kemenangan dan Hong Kong tidak terkecuali daripada meletakkan harapan yang tinggi pada pertemuan itu.

``Mana ada pasukan yang mahukan kekalahan, semua orang mahukan kemenangan dan saya meramalkan pertemuan dengan Malaysia merupakan satu perlawanan yang menarik,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai harapan pasukannya untuk menang, beliau menjelaskan, peratusan peluang kedua-dua pasukan ialah 50-50 dan sebagai pasukan tuan rumah, Malaysia sudah tentu akan bermain habis-habisan bagi mencapai kemenangan.

``Malaysia biasanya akan bermain dengan baik apabila mereka beraksi di tempat sendiri dan saya merasakan pertemuan ini akan menjadi sengit lebih-lebih lagi pasukan negara ini mendapat sokongan padu daripada penyokong tempatan,'' ujarnya.

Dengan rasa rendah diri, Sun Cheung tidak menafikan pasukan bimbingannya masih memerlukan pendedahan yang meluas bagi mengukuhkan permainan yang disifatkan masih belum mantap.

Menurut beliau, pemain Hong Kong masih belum dapat mempamerkan satu permainan yang menyengat kerana pasukan itu baru sahaja dibentuk pada tahun lalu.

Tambahnya, barisan pasukan Hong Kong mendapat pendedahan terbaik pada Kejohanan Asia Timur yang berlangsung November tahun lalu.

``Saya yakin kejohanan tersebut sedikit sebanyak mendedahkan para pemain saya dalam usaha menimba pengalaman bagi mewujudkan persefahaman dalam pasukan,'' jelasnya.

Beliau berkata, pasukan Hong Kong turut meletakkan harapan kepada penyerang utamanya yang berbangsa Nigeria, Lorence Chimezie untuk menggegarkan gawang pasukan Malaysia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4e2yoqb2r
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan