Ahad, 16 April 2017

Malaysia kalah lagi

ARKIB : 01/04/2004

Oleh AIZAWATI AHMAD dan ALI MAHMOOD

PENYERANG negara, Hairuddin Omar (kanan) mengasak pemain Kuwait, Nawaf Al Humaidan dalam aksi bola sepak kelayakan Piala Dunia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Malaysia kalah 2-0. - Gambar GHAZALI BASRI. MALAYSIA terus gagal mencatat kemenangan dalam kempen kelayakan bola sepak Piala Dunia apabila tewas 2-0 kepada Kuwait dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Ia adalah kekalahan kedua skuad negara kendalian jurulatih, K. Rajagopal dalam Kumpulan 4 selepas kalah mengejut 3-1 kepada Hong Kong pada perlawanan pertama 18 Februari lalu juga di Kuantan.
Malaysia terus terperosok di tangga paling bawah daripada empat pasukan tanpa mata. China mengisi tempat teratas dengan enam mata selepas menang 1-0 di Hong Kong dalam perlawanan yang berlangsung serentak.
Nyata nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila beberapa percubaan ke pintu gol lawan berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Kuwait yang bermain lebih baik.
Gol pertama Kuwait dijaringkan oleh Bader Al-Mutwa yang menewaskan penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz sebelum menolak bola masuk pada minit ke-75,
Kuwait menggandakan jaringan pada minit ke-87 apabila Hamad R Al-Harby merembat masuk yang memusnahkan impian pasukan kebangsaan.
Antara peluang terbaik yang gagal disempurnakan oleh para pemain kebangsaan ialah pada minit ke-33 apabila tandukan Indra Putra Mahayuddin yang menerima hantaran daripada Eddy Helmi Abdul Manan tetapi bola berjaya dikuis keluar oleh penjaga gol Kuwait, Khaled A Al-Fadhli.
Peluang seterusnya pada minit ke-44 apabila pemain gantian, Muhammad Shukor Adan membuat tendangan leret pada jarak kira-kira empat meter bagaimanapun percubaan tersebut terkena tiang gol Kuwait.
Serangan bertubi-tubi menerusi gandingan Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra jelas gagal menumpaskan penjaga gol Kuwait yang ternyata kebal walaupun diuji beberapa kali oleh pemain negara.
Tujuh peluang keemasan yang boleh menghasilkan gol pada separuh masa pertama dan kedua ternyata gagal disempurnakan oleh barisan penyerang pasukan kebangsaan dan sekali gus menyaksikan Malaysia berputih mata untuk mara ke pusingan seterusnya Piala Dunia.
Pasukan kebangsaan terpaksa menunggu enam tahun lagi sekiranya berhajat untuk beraksi pada kejohanan Piala Dunia 2010.
MALAYSIA: Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulong, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar (Muhammad Shukor Adan), Rosdi Talib, Eddy Helmi Abdul Manan, Indra Putra Mahayuddin, K. Nantha Kumar, Kaironnisam Sahabudin, Nizaruddin Yusoff (Khalid Jamlus), Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
KUWAIT: Khalid A Al-Fadhli, Ali A Asel, Nohayr M Al-Shammari, Nawaf A Al-Humaidan, Basher A Abdul Aziz (Hamad R Al-Harbi), Abdullah N Al-Fadli, Masaed N Al-Enzi, Ahmad Al-Shammari, Khaled H Al-Shammari, Bader A Al-Mutwa dan Abdul Rahman M Al-Dawood.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan