Ahad, 23 April 2017

Aksi balas budi untuk Harris

ARKIB : 09/06/2004
SEBAGAI menyambung tradisi, Malaysia gagal membuka laluan ke Jerman untuk menghadapi pusingan akhir bola sepak Piala Dunia walaupun masih mempunyai satu lagi perlawanan peringkat kelayakan Kumpulan 4 Zon Asia menentang China di Beijing hari ini.
Setelah tewas dua perlawanan pembukaan sebelum ini, peluang Malaysia telah tertutup berbanding China yang menang dalam dua perlawanan tersebut iaitu menewaskan Hong Kong dan Kuwait, masing-masing dengan keputusan 1-0.
Walaupun perlawanan hari ini hanya pelengkap jadual bagi Malaysia, pemain-pemain seharusnya memberikan aksi terbaik, mungkin mencatat kemenangan.
Sememangnya peluang untuk menang buat skuad kebangsaan agak sukar, apatah lagi menghadapi China yang kini sudah mendapat dorongan moral cukup kuat selepas mengatasi Hungary 2-1 dalam aksi persahabatan minggu lalu.
Sebenarnya kemenangan begitu bermakna terutama buat jurulatih Alan Harris yang menggalas misi terakhirnya hari ini. Tugasnya bersama skuad kebangsaan berakhir sebaik sahaja perlawanan menentang China tamat.
Apa yang pasti, Harris tidak sehebat jurulatih China dari Belanda, Arie Haan tetapi telah menjadi adat timur, segala bimbingannya tetap diingati biar pun dia gagal membawa kejayaan buat skuad negara.
Di sebalik kegagalan Harris, pemain-pemain skuad kebangsaan perlu berfikir secara positif bahawa mereka juga boleh dipersalahkan kerana setiap kelemahan perlu ditanggung sebagai sebuah pasukan.
Nasi sudah menjadi bubur, keputusan lalu tidak boleh diubah tetapi kemenangan masih boleh dicari walaupun pintu ke Jerman sudah tertutup.
Mungkin tidak ada kenangan manis untuk diceritakan di sebalik kegagalan Harris namun kemenangan hari ini mungkin menjadi hadiah terakhir atau dapat mengubat sedikit kekecewaannya dan skuad negara.
Malaysia dikatakan sebagai pasukan underdog dan kejohanan 13 pasukan Liga Malaysia telah berjaya meningkatkan semangat bola sepaknya termasuk sikap optimistik Harris yang sentiasa mengatakan masih ada ruang untuk buat kejutan.
``Siapa tahu keputusan akhir nanti sama seperti keputusan perlawanan di Wuhan pada Mac lalu, kita mampu mengejutkan mereka,'' katanya kepada pemberita di Tianjin, kira-kira 100 kilometer ke timur Beijing di mana perlawanan itu akan diadakan pada pukul 8.30 petang waktu Malaysia.
Ketika di Wuhan, pasukan Malaysia seri 1-1 dengan China pada pusingan kelayakan Olimpik yang menggagalkan usaha China untuk ke Athens.
Sementara itu, Haan tetap yakin pasukan bimbingannya akan dapat mengatasi Malaysia.
``Kegembiraan daripada kemenangan mengatasi Hungary masih dirasai pemain dan itu akan memberikan kelebihan untuk mengatasi Malaysia,'' kata Haan, yang juga ahli pasukan legenda bola sepak Belanda `total football' pada tahun 1970.
``Walaupun kami tidak akan selesa, ia tidak menjadi masalah, kita akan menang perlawanan itu,'' kata pemain tengah China, Li Xiaopeng kepada pemberita di kem latihan di Xianghe, daerah Hebei.
``Pasukan kebangsaan China berada dalam keadaan terbaik selepas perlawanan dengan Hungary. Kita tiak akan mengubah apa-apa format pasukan dan juga taktik. Semua pemain mempunyai jati diri yang baik dan kita lebih kuat dari Malaysia.'' - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan