Sabtu, 29 April 2017

Khidmat Khalid, Saravanan ditagih

ARKIB : 16/10/2004
PENYERANG Perak, Khalid Jamlus mendapat kepercayaan semula mengetuai jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi saingan Piala Tiger Disember ini setelah tersisih sejak awal tahun ini.
Kelincahan Khalid menyumbangkan dua gol membantu Perak menewaskan Terengganu 3-0 untuk menjulang Piala FA minggu lalu, jelas menambat hati jurulatih bola sepak kebangsaan, Batalan Bicskei.
``Saya tertarik dengan aksi Khalid kerana dia masih ada sentuhan jaringan gol dan ini adalah pemain yang saya cari.
``Saya tidak peduli apa yang diperkatakan mengenai Khalid semasa menyarung jersi kebangsaan sebelum ini yang penting saya mahukan kehadiran dia,''ujar Bicskei.
Buat jurulatih dari Hungary itu, kehadiran Khalid dijangka dapat memperkukuhkan semula jentera serangan skuad kebangsaan yang ketandusan jaringan gol.
Ujarnya, penampilan penyerang Perak itu mampu memantapkan jentera serangan bergandingan dengan Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin.
Khalid sebelum ini dikenali sebagai pemain yang sering menimbulkan kontroversi dan sering keluar masuk ke dalam skuad bola sepak kebangsaan.
Menurutnya, selain Khalid, rakan sepasukan pemain itu, V. Saravanan akan turut disenaraikan apabila skuad kebangsaan melapor diri untuk sesi latihan kedua pada 19 Oktober ini.
Tiga lagi pemain Perak yang turut dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan ialah K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong dan Asmawi Bakiri.
Selain itu tiga pemain Terengganu yang muncul naib juara Piala FA turut dipanggil ialah penjaga gol, Md. Syamsuri Mustafa, Zulharisam Awang dan Norfazli Alias.
Selebihnya ujar jurulatih itu, beliau tetap menyandarkan harapan kepada pemain utama seperti Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Fadzli Shaari, Lim Chan Yew, Mohd. Amri Yayah dan Madzlan Emoi.
Bicskei berkata, barisan pemain yang akan dipanggil kali ini adalah lebih mantap berbanding dengan skuad yang tewas 0-2 kepada Hong Kong pada pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia Rabu lalu.
``Gandingan kali ini adalah pemain lama dan baru, barisan ini pada saya cukup bertenaga,'' ujarnya.
Beliau mengakui hakikat kekalahan 0-2 kepada Hong Kong kerana pemain muda yang disenaraikan gagal memberikan persembahan mantap.
Bicskei mahu melupakan kekalahan kepada Hong Kong dan memberi tumpuan persiapan menghadapi Piala Tiger.
Selain itu, skuad bimbingan Bicskei akan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait di tempat lawan pada 17 November ini.
Ujarnya, sepanjang bulan puasa pemain akan tetap menjalani latihan seperti biasa apabila mereka melapor diri 19 Oktober ini.
Ujarnya, selepas itu skuad kebangsaan akan berdepan dengan Singapura di tempat lawan dalam perlawanan persahabatan pada 1 November ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan