Sabtu, 8 April 2017

Malaysia kecundang

ARKIB : 10/12/2003
HANOI - Jaringan penyerang Vietnam, Phan Thanh Binh pada lewat permainan menghancurkan harapan negara untuk melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXII selepas tewas 4-3 dalam aksi separuh akhir di Stadium Nasional My Dinh di sini, semalam.

Vietnam akan bertemu juara bertahan, Thailand pada perlawanan akhir, Jumaat ini. Thailand sebelum itu menewaskan Myanmar 2-0 pada satu lagi separuh akhir.

Thanh Binh menanduk masuk gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan, menewaskan penjaga gol negara, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi Le Quac Vuong yang membuat larian solo terus ke bahagian atas kiri pintu gol menewaskan Syamsuri.

Vietnam menambah jaringan selepas lima minit separuh masa kedua bermula menerusi Van Quyen yang menyepak terus dari tengah luar kotak penalti ke bahagian kiri pintu gol.

Syamsuri membuat sepakan kuat dari luar kotak penalti yang melantun sekali berdekatan pintu gol dan terus memasuki gawang tanpa dapat diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Nguyen The Anh yang tidak menyangka jaringan tersebut.

Jaringan Syamsuri pada minit ke 73 itu membolehkan Malaysia merapatkan kedudukan 2-1.

Namun Vietnam menerusi Van Quyen melebarkan semula jurang jaringan Vietnam dengan gol kedua peribadinya dan ketiga untuk tuan rumah bagi membolehkan mereka mendahului 3-1.

Jaringan Zainizam Marjan yang dimasukkan menggantikan K. Rajan pada minit ke-85 dan Indra Putra Mahayuddin dua minit selepas itu melenyapkan keghairahan pasukan dan penyokong fanatik tuan rumah.

Namun tiket ke perlawanan akhir tetap menjadi milik vietnam apabila Phan Thanh Binh menjaringkan gol kemenangan lawan minit terakhir perlawanan.

Sarayoot Chaikamdee menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-31 dan 68 untuk mencerahkan peluang Thailand untuk merangkul pingat emas buat kali keenam berturut-turut. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dift6lMt© Utusan Melayu (M) Bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan