Sabtu, 8 April 2017

Gangsa bukan bermakna gagal

ARKIB : 14/12/2003
HANOI - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Alan Harris tidak menganggap pencapaian tempat ketiga pada Sukan SEA XXII di sini kelmarin sebagai satu kegagalan.

Harris berkata, memenangi empat perlawanan serta tewas sekali di separuh akhir tidak terlalu teruk walaupun prestasi mereka masih di belakang pasukan Thailand yang menjuarai acara itu buat kali keenam berturut-turut.

``Ia satu pengalaman yang baik buat pemain. Saya sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk temasya ini.

``Bagaimanapun prestasi pemain negara tidak terlalu jauh berbanding Thailand ketika ini. Malaysia bagaimanapun masih memerlukan satu tempoh yang sukar dinyatakan untuk menyamai prestasi mereka,'' katanya yang ditemui di hotel penginapan skuad bola sepak negara, semalam.

Jurulatih dari England itu berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi keseluruhan skuad bola sepak negara yang sekadar meraih pingat gangsa setelah menang 4-2 dengan sepakan penalti kepada Myanmar pada perlawanan akhir kelmarin.

Malaysia gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah tewas tipis 4-3 kepada tuan rumah, Vietnam di separuh akhir Selasa lepas.

Dua bulan lepas, ketika gagal pada perlawanan kelayakan Piala Asia di Bahrain, Harris meletakkan sasaran meraih pingat emas pada Sukan SEA XXII.

Ketika itu Harris menyatakan bahawa sasaran tersebut berdasarkan kedudukan Malaysia yang masih mempunyai barisan pemain mantap termasuk beberapa tonggak yang dipanggil kembali selepas mereka tidak disenaraikan dalam skuad kelayakan Piala Asia 2004 kerana masalah kecederaan.

Namun sasaran itu gagal dicapai malah skuad negara sekadar meraih pingat gangsa waluapun sebelum ini telah memenangi pingat perak pada temasya yang sama di Kuala Lumpur dua tahun lepas.

Pengurus pasukan, Datuk Dr Ibrahim Saad berkata, pencapaian di Vietnam ini dianggap memuaskan kerana kali terakhir skuad bola sepak negara meraih pingat di luar negara pada temasya dwi tahunan itu ialah ketika Sukan SEA 1987 di Jakarta.

Mereka memperoleh pingat perak setelah tewas kepada tuan rumah, Indonesia dalam perlawanan akhir.

Harris juga mengakui masalah kecederaan pemain di temasya kali ini sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi skuad kebangsaan.

Menurutnya, beliau hanya mempunyai pilihan 15 pemain untuk diturunkan pada perlawanan penentuan tempat ketiga kelmarin.

Malaysia mara ke perlawanan separuh akhir setelah memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan B di Ho Chi Minh.

Pencapaian mereka di Hanoi bagaimanapun tidak sehebat di perlawanan peringkat kumpulan apabila terpaksa bekerja keras tetapi masih tewas 4-3.

Thailand kekal sebagai gergasi bola sepak Asia Tenggara apabila meraih pingat emas buat kali keenam berturut-turut, menumpaskan Vietnam 2-1 dengan gol emas yang dijaringkan dalam masa tambahan. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4dilija69
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan