Isnin, 10 April 2017

Pemilihan pemain kelayakan Piala Dunia - Aksi di Jepun jadi penentu

ARKIB : 22/01/2004

SKUAD bola sepak negara untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia akan ditentukan selepas perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Jepun.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), daripada 32 pemain yang melaporkan diri bagi sesi latihan fasa pertama dari 16 hingga 18 Jan, seramai 29 daripada mereka akan dipilih bagi fasa kedua yang akan bermula pada 27 Jan.

``Para pemain akan dinilai oleh jurulatih sementara K.Rajagopal dan pengarah teknikal FAM Karl Heinz Weigang akan menentukan skuad terakhir bagi pusingan kelayakan Piala Dunia,'' katanya.

Pasukan kebangsaan itu dijadual bermain dalam perlawanan persahabatan itu di Kashima, Jepun pada 7 Feb.

Rajagopal telah membayangkan sebelum ini yang beliau mahu mengatur satu pertemuan persahabatan semasa fasa kedua latihan untuk menilai keupayaan dan komitmen para pemain.

Malaysia, yang berada dalam Kumpulan 4 pusingan kelayakan Piala Dunia bersama China, Kuwait dan Hong Kong, akan memulakan perlawanan pusingan pertama mereka terhadap Hong Kong pada 18 Feb, Kuwait (31 Mac), China (9 Jun), Hong Kong (18 Okt) dan Kuwait (17 Nov).

Semua perlawanan dijadualkan di stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

FAM kali ini memilih sebahagian besar pemain lama yang pernah menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.

Antaranya penyerang berpengalaman dari Pahang, Azizul Kamaluddin, K. Sanbagamaran, Idris Karim, Khairul Anur Baharom dan Chee Wan Hoe.

Bekas penjaga gol utama negara, Kamarulzaman Hassan yang kini bermain dengan Sarawak, turut dipanggil untuk latihan. Kali terakhir Kamarulzaman mewakili negara ialah pada perlawanan akhir Sukan SEA 2001 menentang Thailand di Kuala Lumpur.

Dalam perlawanan itu, Malaysia tewas 1-0 yang menyaksikan penjaga gol itu melakukan kesilapan apabila tertolak bola ke gawang sendiri.

Selain itu, penyerang Perak, V. Saravanan dan Mohd. Khalid Jamlus turut berada dalam senarai. Bagaimanapun, Khalid kemungkinan gagal menjalani latihan kerana cedera.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dqqT4UHs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan