Jumaat, 7 April 2017

Ayuh buktikan Malaysia mampu



ARKIB : 12/10/2003
SIAPA menyangka skuad negara mampu mencuri satu mata daripada Iraq dalam perlawanan kedua kelayakan bola sepak Piala Asia Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Dengan pertahanan yang bekerja keras sepanjang 90 minit dan nasib yang tidak menyebelahi skuad Iraq, Malaysia mampu mencatat seri 0-0 dengan pasukan pilihan utama itu.

Jurulatih Iraq, Bernd Stange sendiri memuji pertahanan kukuh skuad negara, tetapi keputusan dan pujian itu diharap tidak meletakkan skuad negara dibuai mimpi indah kerana masih ada empat perlawanan lagi - perlawanan terakhir peringkat pertama menentang Bahrain malam ini dan tiga lagi di pusingan kedua di Manama pada 20-24 Oktober.

Keputusan itu sekali gus membuka ruang luas buat anak-anak buah Allan Harris untuk muncul antara dua pasukan teratas melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung di Beijing tahun depan.

Namun, ada masalah dalam skuad negara untuk perlawanan menentang Bhrain kerana Tengku Hazman Raja Hassan digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning kedua kelmarin. Penjaga utama gawang, Azmin Azram Aziz pula terpaksa direhatkan setelah mendapat kecederaan pada separuh masa pertama menentang Iraq.

``Tengku tidak akan bermain kerana digantung satu perlawanan manakala Azmin direhatkan kerana cedera.

``Tetapi saya harap pemain-pemain akan terus berusaha kuat seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan dengan Iraq,'' katanya.

Jurulatih Bahrain, Srecko Juricic pula yakin pasukannya akan bangkit semula dalam pertemuan dengan Malaysia. Bahrain menewaskan Myanmar 3-1 kelmarin setelah sebelumnya tunduk 5-1 kepada Iraq.

``Perlawanan esok (malam ini) pasti sengit kerana ia adalah pertemuan di antara dua pasukan yang merebut tempat kedua (Iraq dijangka muncul juara kumpulan) untuk ke Beijing,'' kata Juricic.

Tetapi agak menyedihkan kerana usaha gigih skuad negara untuk ke Beijing tidak menerima sokongan peminat tempat. Hanya sejumlah kecil yang hadir ke stadium, malah bilangan mereka lebih rendah daripada para penyokong Myanmar ketika menundukkan negara jiran itu 4-0 Rabu lepas.

Untuk perlawanan penting malam ini, sokongan peminat juga perlu bagi menambah semangat juang skuad negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dctYPyT1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan