Jumaat, 28 April 2017

Kita kalah tiga gol

ARKIB : 28/09/2004

PEMAIN Malaysia, K. Saramsak (tengah) cuba melepasi halangan pemain Jepun, Takuya Kokeguchi (depan) dan Yojiro Takahagi dalam Kejohanan Bola Sepak Belia Piala Asia di Stadium Larkin semalam. Malaysia tewas 0-3. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.


SEPERTI yang diramalkan pasukan kebangsaan gagal menyaingi kehebatan pasukan pilihan, Jepun apabila tunduk 0-3 dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Belia Piala Asia di Stadium Larkin, semalam.
Kemenangan itu memastikan Jepun menjadi pasukan kedua selepas Qatar dalam Kumpulan B yang setakat ini sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.
Berbekalkan kemenangan skuad kebangsaan ke atas Vietnam 1-0 dalam perlawanan pertama Sabtu lalu, nyata anak buah jurulatih K. Rajagopal gagal menyaingi kehebatan Jepun.
Seawal minit pertama lagi benteng pertahanan skuad kebangsaan bocor hasil sepakan kencang penyerang Jepun, Takuya Kokeguchi menewaskan penjaga gol, Mohd. Faizal Harun.
Terkejut dengan gol Jepun, skuad kebangsaan cuba mengatur gerakan tetapi mendapati benteng pertahanan lawan terlalu ampuh.
Jepun menambah dua gol lagi menerusi Yojiro Takahagi (42) dan Takayuki Marimoto (68).
Sementara itu dalam perlawanan kedua pula, Nepal membuat kejutan apabila menumpaskan Vietnam 1-0.
Gol kemenangan Nepal diperolehi hasil sepakan penalti pada minit ke-61 yang telah disempurnakan oleh penyerangnya, Pradeep Maharjan.
Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula, Qatar menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 menewaskan Iran.
Qatar membuka tirai jaringan pertama seawal minit kedua apabila Waleed Abdulla menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Iran, Seyed Mahdi Eslami Shahrbabaki.
Bagaimanapun Iran menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Abdel Kolahkaj pada minit ke-45.
Bagaimanapun Khalid Al-Hajiri memastikan kemenangan mutlak milik Qatar pada minit ke-54.
Manakala dalam perlawanan kedua pula, China tidak menghadapi masalah apabila mencatat kemenangan pertama berpesta gol menewaskan Indonesia 5-1.
Gol-gol pasukan China dijaringkan oleh Hao Junmin (11), Tan Wangsong (14), ZhouHaibin (20), Zhu Ting (39), Shen Longyuan (90).
Manakala gol saguhati Indonesia dijaringkan oleh Boas Salossa pada minit ke-57.
JADUAL HARI INI
KUMPULAN C
Laos lwn Syria (6 ptg)
India lwn Uzbekistan
(8.45 mlm)
(Stadium Petaling Jaya)
KUMPULAN D
Iraq lwn Thailand (6 ptg)
Yemen lwn Korea Selatan (8.45 mlm)
(Stadium Ipoh)




© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan