ARKIB : 17/07/2005
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
TIGA tonggak import Singa Utara
(dari kiri) Masud Nazab, Joao Bandoch dan Phillimon Chipeta berazam untuk
membantu Perlis merangkul gelaran berganda musim ini. Masud merupakan import
baru yang dibawa dari Ghana. - Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.
SHAH ALAM - Pemain yang
mewakili negara dari peringkat umur bawah 23 tahun sehingga ke skuad kebangsaan
sekurang-kurangnya sebanyak 50 kali akan dijamin mendapat pekerjaan tetap
selepas kerjaya bola sepak mereka berakhir.
Mereka akan diberikan jawatan
yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran selepas menabur bakti dengan
pasukan negara dalam tempoh empat tahun ke atas yang meliputi setiap musim
berlangsungnya Piala Dunia.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, skim insentif
pekerjaan untuk pemain kebangsaan itu akan berkuat kuasa pada Sukan SEA di
Manila, November ini yang disertai pemain bawah 23 tahun.
``Mereka mestilah bermain
sekurang-kurangnya 50 kali dengan skuad bawah 23 tahun dan ke atas menentang mana-mana
pasukan antarabangsa kelas A, tidak kira dalam mana-mana kejohanan mahupun
perlawanan persahabatan.
``Malah jika mengambil kira
lingkungan semusim Piala Dunia, pemain yang sentiasa mewakili negara mampu
mencapai antara 76 hingga 96 perlawanan,'' katanya pada sidang akhbar selepas
Mesyuarat Majlis FAM Keempat Sesi 2004/2006 di Hotel Pan Pacific Glenmarie di
sini, semalam.
Skim yang diperkenalkan ini
hampir menyerupai skim persaraan untuk atlet negara yang berjaya memenangi
pingat Sukan Olimpik yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai
Pembangunan Sukan, Februari lalu.
Ketika ini, bekas pemain yang
kerap mewakili negeri dan negara serta sudah pun mengakhiri kerjaya bola sepak,
mendapat imbuhan dalam bentuk wang menerusi Skim Tabung Amanah FAM.
Bagi peringkat negeri, pemain
yang diiktiraf sudah mewakili negeri sebanyak 50 kali (cap), akan mendapat RM50
bagi setiap cap mereka dan bagi 51 cap ke atas, mendapat RM250 daripada FAM.
Di peringkat kebangsaan pula,
50 cap mereka akan menjanjikan RM150 bagi setiap cap, 51 hingga 100 cap
(RM200), 101 hingga 150 cap (RM300) dan 151 ke atas (RM400).
Sementara itu, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengumumkan penubuhan pasukan petugas bagi
memantau perkembangan skuad bawah 23 tahun dan skuad bawah 20 tahun yang
masing-masing dilatih oleh jurulatih, Bertalan Bisckei dan K. Rajagopal.
``Pasukan petugas ini akan
dianggotai oleh beberapa pegawai FAM yang terpilih dan jurulatih dan pengurus
pasukan berkenaan selain mendapat khidmat nasihat pakar-pakar tertentu dalam
sains sukan.
``Menerusi mesyuarat Majlis
FAM, kita juga menetapkan sasaran meraih pingat emas kepada skuad Bawah 23 yang
akan ke Sukan SEA Manila dan mara ke pusingan kedua bagi skuad Bawah 20 pada
Sukan Asia 2006 dan Piala Asia 2007,'' kata beliau.
FAM katanya, yakin bahawa
sasaran berkenaan cukup realistik untuk dicapai dan menyangkalnya sebagai bakal
memberi tekanan kepada pasukan kerana rantau Asia Tenggara perlu dikuasai
sebelum berhajat bersaing di peringkat benua.
``Satu sistem pemilihan pasukan
kebangsaan baru yang melibatkan kerjasama jurulatih negara dengan jurulatih
negeri juga akan dibuat, supaya tiada mana-mana pihak sama ada pegawai mahupun
peminat mampu mempertikaikannya lagi,'' katanya.
Menurut beliau, FAM juga sedang
menimbang kemungkinan untuk mendapatkan seorang jurulatih khas bagi penyerang
kebangsaan bagi mengatasi masalah pencapaian pasukan yang kerap hambar kerana
gagal menjaringkan gol.
``Tanpa gol, tiada pasukan yang
akan menang. Inilah yang sering ditemui dalam laporan prestasi pasukan oleh
jurulatih. Kita akan cuba atasi dengan menggunakan jurulatih khas penyerang
sebagaimana kita memiliki jurulatih penjaga gol sekarang,'' katanya
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ijkBAmfl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan