ARKIB : 24/11/2005
Daripada ABDUL HAFIZ AHMAD
BACOLOD CITY - Supersub Mohd.
Nor Ismail hampir pasti mengambil alih posisi penyerang yang dikosongkan oleh
Rudie Ramli kerana menjalani penggantungan satu perlawanan bola sepak Sukan SEA
ke-23 di Filipina.
Sesi latihan awal pagi semalam
di Pusat Sukan Manuel Y. Torres, Baco City menyaksikan penyerang simpanan Perak
itu digandingkan dengan Azlan Ismail yang disahkan pulih daripada kecederaan
buku lali sejak menentang Kemboja, Isnin lalu.
Walaupun gerakan penyudahnya
tampak belum begitu berbisa, Mohd. Nor merupakan calon terdekat sebagai
pengganti Rudie biarpun skuad bawah 23 tahun negara memiliki seorang lagi
penyerang, Azi Shahril Azmi.
Turut bakal menjadi muka baru
kesebelasan utama menjelang perlawanan penting dengan Thailand, Ahad ini ialah
pemain tengah dari Terengganu, Zairo Anuar Zalani untuk mengambil alih tempat
milik Harizul Izuan Rani.
Ketua jurulatih negara, Norizan
Bakar yang ditemui selepa sesi latihan kira-kira sejam setengah itu
bagaimanapun berkata, Mohd. Nor dan Zairo Anuar masih memerlukan sedikit masa
lagi untuk disahkan sebagai pemain kesebelasan utama di Stadium Panaad, Ahad
ini.
``Ada beberapa hari lagi
sebelum Mohd. Nor dan Zairo boleh disahkan membarisinya.
``Mungkin juga dalam beberapa
hari ini, apa sahaja boleh berlaku,'' katanya yang pernah menjadi penolong
jurulatih skuad negara bersama Lim Chuan Chin pada Sukan SEA Brunei 1999 di
samping Abdul Rahman Ibrahim.
Mohd. Nor lebih menonjol
sebagai supersub dengan jaringan kemenangannya berjaya membantu Malaysia
menduduki tempat ketiga Piala Tiger di Singapura, awal tahun ini selain
menyumbat gol terakhir Perak ketika bergelar naib juara Piala FA, September
lalu.
Beliau turut sempat masuk
menggantikan Azlan yang tercedera buku lali ketika Malaysia berpesta gol
membelasah Kemboja 5-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A malah melorongkan
umpanan yang berkesan kepada jaringan terakhir menerusi R. Surendran.
Zairo Anuar dikatakan sukar
membarisi kesebelasan utama kerana memerlukan sedikit rangsangan dengan
menyaksikan aksi rakan sepasukan dari bangku simpanan terlebih dulu.
Bagaimanapun, jaringan keduanya
menerusi rembatan dari jarak 30 meter ketika menentang Kemboja lalu,
membuktikan beliau mampu memanfaatkan sebarang peluang yang diberikan oleh
Norizan jika keadaan benar-benar memerlukan.
Kesemua anggota skuad negara
termasuk penolong jurulatih, Nasir Yusof hadir di Stadium Panaad semalam untuk
menilai sendiri sejauh mana kekuatan dan kelemahan Thailand dan Filipina yang
disaksikan kira-kira 10,000 penonton.
Sebagaimana Kemboja yang sukar
dinilai sebelumnya, menonton aksi di padang yang terbaru mampu memberikan
gambaran sebenar kedua-dua pasukan itu, katanya mengulas perlawanan yang
dimenangi Thailand 1-0 menerusi jaringan Jakkrit Bunkham. - Utusan
sumerArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jN9fCpBS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan