Khamis, 8 Jun 2017

Malaysia minta jaminan di Yangon



 
ARKIB : 14/12/2005
Oleh AMRAN MULUP
Redzuan Sheikh Ahmad.
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mendapatkan jaminan mengenai tahap keselamatan menjelang pertemuan pusingan kedua kelayakan Piala AFC Bawah 20 tahun apabila Malaysia bertemu Myanmar di Yangon pada Jumaat ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, insiden pergaduhan yang berlaku apabila penyokong Myanmar menyerang penyokong Malaysia pada minit ke-68 di Stadium KLFA di sini mungkin akan berlaku di Yangoon.

``Insiden ini berlaku di Malaysia ketika Myanmar tewas 2-4 kepada skuad kebangsaan dan FAM khuatir keadaan serupa berulang di Yangon.

``Situasi ini sebenarnya boleh menjejaskan tumpuan pemain kebangsaan ketika kita selesa dengan berbekalkan dua gol,'' ujarnya pada sidang akhbar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di sini, kelmarin.

Dalam insiden yang berlaku pada minit ke-68, sebahagian daripada 2,000 penyokong Myanmar telah menyerang segelintir kecil penyokong Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Penyokong terbabit mencabut kerusi dan melontarnya ke arah penyokong Malaysia yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Kejadian baling membaling kerusi dan objek keras ke arah penyokong Malaysia berlarutan dan kelihatan tidak terkawal.

Redzuan turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan penyokong Myanmar yang disifatkan tidak bersemangat kesukanan.

``Kita cukup masak dengan sikap penonton Myanmar di tempat mereka (lawan).

``Pernah terjadi insiden rusuhan penonton di Yangon pada 1982 sewaktu pertemuan skuad bawah 17 tahun Malaysia dengan Myanmar apabila penonton merusuh membakar sebahagian daripada stadium dan tempat bangku simpanan terbabit.

``Lebih mengejutkan apabila penonton boleh menghampiri di tepi padang ketika perlawanan sedang berlangsung,'' tegasnya.

Redzuan melahirkan rasa bimbang jika kawalan keselamatan tidak dipertingkatkan di Yangon kemungkinan besar rusuhan penonton boleh berlaku dan ia boleh menjejaskan tumpuan pemain.

Mengulas kelewatan pihak polis meredakan keadaan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak dapat ditempatkan di Stadium KLFA kerana sebahagian besar anggota berada di Sidang Kemuncak ASEAN ke-11 dan perasmian Sukan Wanita di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jSODn4dk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan