Isnin, 26 Jun 2017

Malaysia kalah penalti 4-5



ARKIB : 01/06/2006

KUALA LUMPUR - Singapura memenangi siri pertama perlawanan bola sepak persahabatan tahunan, Cabaran Tambak dengan menewaskan Malaysia 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Singapura, semalam.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan selepas 90 minit tempoh permainan sebenar tetapi akan bertemu semula dalam siri kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Sabtu ini.

Semalam, Malaysia menurunkan ramai muka lama daripada persahabatan dengan New Zealand, Februari lalu seperti Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani Misbah, Fadzli Saari, Safee Sali, Rudie Ramli dan Hardi Jaafar.

Kira-kira 20,000 penonton hadir menyaksikan pertemuan tetangga di Stadium Nasional yang bersejarah tetapi bakal dirobohkan selepas ini untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks sukan moden serba lengkap.

Bagi Malaysia, perlawanan ini menjadi sebahagian persediaan awal menghadapi Sukan Asia Doha, Disember ini dan pusingan akhir Piala Asia, Julai tahun depan sementara lawan masih bergelut untuk melayakkan diri ke kejohanan itu.

Kekalahan ini bagaimanapun bererti Malaysia yang dibimbing oleh Norizan Bakar, masih gagal menebus kekalahan 0-2 dan 1-2 kepada juara Piala Tiger 2004 itu di Singapura dan Pulau Pinang pada Jun tahun lalu

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4l6ugXFP0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan