Khamis, 8 Jun 2017

Permintaan FAM ditolak - Perlawanan tetap diadakan di Yangon



ARKIB : 15/12/2005
Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Permintaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar perlawanan saingan kedua Kumpulan I pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 20 tahun diadakan di gelanggang berkecuali ditolak oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, ini adalah kali kedua rayuan daripada badan induk itu ditolak oleh AFC.

Menurut beliau, sebelum ini FAM pernah mengemukakan permohonan agar perlawanan membabitkan Myanmar selaku tuan rumah diadakan di gelanggang berkecuali dengan alasan bimbang mengenai soal keselamatan bermain di Yangon.

``Permohonan ini juga ditolak oleh AFC begitu juga dengan surat kedua yang dihantar sebelum ini turut tidak dilayan.

``AFC tetap mahu mengadakan pertemuan kedua diadakan di Yangon,'' ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, AFC menerusi sepucuk surat telah memberi jaminan tahap keselamatan diperketatkan menjelang pertemuan kedua Malaysia dengan Myanmar di Yangon.

Ujarnya, AFC meminta FAM tidak perlu risau dengan soal keselamatan di Yangon kerana pihak berkuasa negara tersebut akan membuat kawalan ketat untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kebimbangan FAM ekoran insiden yang berlaku pada saingan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Isnin lepas, apabila sebahagian daripada 2,000 penyokong Myanmar telah menyerang segelintir kecil penyokong Malaysia kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Penyokong terbabit mencabut kerusi dan melontarnya ke arah penyokong Malaysia yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Kejadian baling membaling kerusi dan objek keras ke arah penyokong Malaysia berlarutan dan kelihatan tidak terkawal.

Ibrahim berkata, keputusan AFC untuk menolak permintaan FAM itu setelah Persatuan Bola Sepak Myanmar turut memberikan jaminan kawalan keselamatan di setiap pelosok stadium dipertingkatkan.

``Memang sejak dari awal lagi sebelum pertandingan bermula, FAM sudah memohon agar perlawanan membabitkan Myanmar sebagai tuan rumah menggunakan gelanggang berkecuali.

``Kita sudah cukup masak dengan gelagat liar penyokong Myanmar bila bermain di tempat sendiri,'' ujarnya.

Pada saingan pertama, Malaysia menewaskan Myanmar 4-2 dan selangkah kaki kian menghampiri tempat ke pusingan akhir yang akan diadakan di India, Ogos tahun depan.

Skuad bimbingan K. Rajagopal hanya perlu mempertahankan kelebihan dua gol untuk sekurang-kurangnya seri bagi mengesahkan ke pusingan akhir nanti.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jSQv0DFN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan