ARKIB : 04/04/2006
KUANTAN - Bekas jurulatih
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim disebut-sebut akan kembali berkhidmat dengan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setelah badan induk itu membuat keputusan
untuk menggunakan kepakaran tenaga tempatan.
Bagaimanapun, berbanding tugasnya
selaku jurulatih skuad senior sebelum ini, Abdul Rahman kini dicalonkan untuk
membimbing skuad remaja yang akan terlibat dalam pusingan kelayakan Sukan
Olimpik Beijing 2008.
Abdul Rahman, yang kini
direhatkan daripada membimbing skuad Liga Super Perlis kerana kemerosotan
prestasi pasukan, adalah antara empat calon yang disebut oleh Setiausaha Agung
FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad akan dilantik sebagai jurulatih skuad Olimpik
negara.
Selain Abdul Rahman, yang tidak
disambung khidmatnya sebagai jurulatih skuad senior selepas kontraknya tamat
pada 2001, Ibrahim juga menyebut nama jurulatih Selangor, Dollah Salleh;
jurulatih Telekom Melaka, Irfan Bakti dan jurulatih Pahang, Zainal Abidin
Hassan.
``Semua calon ini ada
potensi,'' kata Ibrahim tanpa mengulas lanjut.
Menurut Ibrahim, calon yang
terpilih akan diumumkan minggu ini bagi mengisi tempat yang kini dikendalikan
sementara oleh pengarah teknikal FAM, Robert Alberts yang juga bekas jurulatih
Kedah dari Belanda.
``Banyak kali media
mencadangkan agar kami tidak menggunakan orang luar, kali ini kami akan cuba
dengan jurulatih tempatan,'' kata Ibrahim semasa menghadiri mesyuarat
jawatankuasa pengelola pusingan kelayakan Kejohanan Futsal Asia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4kqHTkacW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan