Jumaat, 30 Jun 2017

Vingada cari muka baharu



Bentuk skuad terbaik Harimau Malaya sebelum jumpa Hong Kong
  NELO VINGADA
NELO VINGADA

Rozaidi Zulkifli

30 Jun 2017 3:00 AM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

KUALA LUMPUR 29 Jun - Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada mahu mengintai beberapa muka baharu bagi membentuk pasukan terbaik sebelum bertemu Hong Kong dalam aksi kedua Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato Haji Yunos Larkin, 5 September depan.

Kata Vingada, dia akan memulakan pencarian esok apabila Liga Malaysia (Liga M) bersambung selepas le­bih sebulan berehat untuk melihat perkemba­ngan pemain dalam Liga Super dan Perdana.

Turut mencuri tum­puan pengendali kelahiran Portugal itu adalah barisan pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) yang bakal mengharungi dua kejohanan pen­ting iaitu Pia­la Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand bermula 19 Julai dan Sukan SEA, Ogos nanti.

Vingada mengakui, berminat dengan beberapa tonggak skuad B-22 tetapi enggan mendedahkan nama pemain tersebut.

Katanya, dia tidak mahu menjejaskan fokus jurulatih skuad muda negara, Datuk Ong Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukan itu untuk menghadapi dua pertandingan penting.

“Anda semua tahu banyak perlawanan akan berlangsung termasuk liga.

“Saya dan staf (kejurulatihan) tidak akan melihat kepada (keputusan) perlawanan tetapi lebih kepada mencari pemain kerana saya mahu memenuhi keperluan pasukan ini. Kami akan berusaha untuk mendapatkan pemain yang boleh dibawa.

“Saya juga melihat skuad B-22 memiliki empat atau lima pemain yang bagus tetapi mereka akan bermain di Thailand, diikuti kejohanan penting Sukan SEA memandangkan Malaysia tampil sebagai pasukan tuan rumah.

“Mungkin saya berdepan sedikit kesukaran untuk membawa mereka dalam pertemuan menentang Hong Kong tetapi saya akan terus mengikuti pemain-pemain yang beraksi dalam liga.

“Saya yakin, sebaik sahaja semua pertandingan berakhir, saya bakal mendapat visi yang lebih baik untuk memilih pemain kerana kami perlu menang ke atas Hong Kong nanti,” katanya.

Vingada ditemui pada majlis rumah terbuka Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di Shah Alam, hari ini.

Katanya lagi, skuad Harimau Malaya juga akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dalam masa terdekat bagi membentuk kesebelasan terbaik, selain terdesak meraih kemena­ngan ke atas Hong Kong.

Dalam perlawanan pertama Kumpulan B pada 13 Jun lalu, skuad negara tewas tipis 1-2 kepada Lebanon.

“Walaupun perlawanan menentang Lebanon bukan aksi yang bagus dan tidak sempurna tetapi kami mahu tampil lebih positif.

“Kami bercadang untuk bermain dalam dua perlawanan persahabatan tetapi saya masih belum putuskan lagi (pasukan lawan).

“Apa yang penting, kami perlu menurunkan kesebelasan terbaik ketika menentang Hong Kong nanti kerana kami harus menang,” ujarnya

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/vingada-cari-muka-baharu-1.497480#ixzz4lTRkSHtW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan