ARKIB : 18/05/2006
KUALA LUMPUR - Skuad Bawah 20
Tahun Malaysia bangkit untuk menemui sentuhan kemenangan dalam siri perlawanan
bola sepak persahabatan di Slovakia dengan menewaskan Bawah 20 Tahun Spartak
Trnava 5-2, kelmarin.
Anak didik K. Rajagopal yang
kalah 2-4 kepada Zapado Slovensky Krag, Ahad lalu, juga tidak gentar dengan
susuk fizikal Spartak Trnava yang lebih besar untuk mendahului 2-1 dalam babak
pertama perlawanan di Stadium Vion, Zlate Moravce.
Mereka memperoleh dua gol dalam
tempoh tiga minit menerusi Khyril Muhaymeen Zambri dan Farderin Kadir
masing-masing pada minit ke-27 dan 29 sekalipun tersentak dengan gol
pendahuluan lawan.
Pada babak kedua, skuad Bawah
20 Tahun Malaysia yang akan menghadapi Kejohanan Belia Asia di India, Oktober
ini, membuat pertukaran dengan memasukkan Wan Aliff Jasmi untuk menggantikan
Hardy Charles.
Membalas kepercayaan Rajagopal
itu, Wan Aliff melengkapkan umpanan penyerang utama, Zaquan Adha Razak untuk
merembat gol ketiga pada minit ke-53 sementara gerakan solo Farderin dengan
tolakan mudah mengecewakan Spartak Trnava lagi, 10 minit kemudian.
Tuan rumah tiba-tiba beroleh
gol kedua untuk merapatkan kedudukan 2-4 setelah pemain Malaysia, Nuraliff
Zainal Abidin tertampan ke gol sendiri pada minit ke-72.
Mereka akan mengakhiri siri
kunjungan ini dengan menentang Bawah 20 Tahun Slovakia, esok. Minggu lalu,
mereka mencatat tiga kemenangan ketika mengunjungi England termasuk menewaskan
Akademi Manchester United 4-1
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4l68ilK7M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan