ARKIB : 20/11/2005
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
BACOLOD - Aksi bola sepak
Kumpulan A Sukan SEA antara tuan rumah dengan Thailand di Stadium Panaad, Rabu
ini bakal menjadi gelanggang analisis ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun
negara, Norizan Bakar.
Beliau mungkin telah mengumpul
banyak maklumat dan penilaian terhadap Thailand daripada Piala Agribank di
Vietnam, baru-baru ini tetapi Filipina khabarnya sudah menunjukkan kemajuan dan
perubahan sejak kali terakhir menentang Malaysia dalam Kejohanan AFF, Ogos
lalu.
Dengan kemunculan gandingan dua
pemain Liga Simpanan Chelsea, Phil dan James Younghusband yang membarisi skuad
tuan rumah, banyak yang perlu dikutip dan diamati oleh Norizan demi kebaikan
persediaan anak buahnya.
Setakat ini, tuan rumah
difahamkan cuba menyembunyikan sejauh mana kekuatan dan persediaan mereka yang
menggunakan gandingan bersaudara dari kelab gergasi Liga Perdana England itu.
Tuan rumah tampak cuba
mengikuti jejak Singapura yang sudah menggunakan dua pemain kelahiran asing
yang diberikan kerakyatannya, Itmi Dickson dan Agu Casmir.
Malah kehadiran tiga lagi
pemain `import' Filipina, dijangka mengancam peluang skuad bimbingan Norizan
Bakar yang cuba memburu sekurang-kurangnya tempat kedua Kumpulan A di belakang
juara bertahan, Thailand.
Mereka ialah Chad Gould dan
Felipo Brodio yang dilahirkan di Great Britain dan Andy Prochnow dari Jerman.
Tinjauan Utusan Malaysia ke
Stadium Paglaum semalam untuk menilai aksi mereka dalam sesi latihan turut
menemui kegagalan apabila skuad bimbingan Aris Chalib itu membatalkan sesi
latihan pada saat-saat akhir.
Kelmarin, mereka membelasah
Tentera Udara Filipina 7-0 dalam perlawanan persahabatan terakhir dan kenyataan
Presiden Persekutuan Bola Sepak Filipina, Juan Miguel Romualdez, `kami akan
memeningkan kepala banyak pasukan', wajar diambil sebagai amaran awal buat
Malaysia.
Sebagai rekod, Malaysia hanya
mampu menewaskan Filipina 2-1 pada perlawanan kumpulan Kejohanan AFF di Bangkok
untuk menduduki tempat kedua di belakang Thailand, juara bertahan Sukan SEA
enam kali.
Namun, ketika itu, skuad negara
dibimbing oleh Bertalan Bisckei dari Hungary dan hanya Nasir Yusof selaku
penolong jurulatih serta jurulatih penjaga gol, Lim Chuan Chin yang sempat
mengukur kemampuan Filipina - lawan yang dulunya kerap dibelasah.
Sekadar dengan berpandukan
makluman mereka mungkin tidak memadai kerana banyak faktor semasa perlu diambil
kira termasuk keadaan padang yang didapati tidak rata dan mampu mempengaruhi
kelancaran permainan skuad negara.
``Kami tidak memandang rendah
sesiapa pun, sama ada Filipina atau Kemboja, semua lawan akan kami hadapi
sebagaimana menghadapi Thailand,'' kata Norizan selepas sesi latihan, semalam.
Menurutnya, formasi pasukan
yang diketuai oleh Fadzli Shaari, pemain berpengalaman dalam tiga Sukan SEA
sejak temasya ke-21 di Kuala Lumpur 2001 masih mengutamakan 4-4-2.
``Kesebelasan utama memang
sudah ada dalam fikiran tetapi kita akan terus tengok sehingga esok (hari ini)
untuk menetapkannya. Apa pun, dalam tempoh sebulan dua ini, saya sudah menemui
keserasian rentak permainan mereka,'' katanya.
Sementara itu, Ronny Harun, 21,
antara tonggak skuad negara yang meraih sebutir gangsa di Vietnam 2003,
berkata, tuan rumah mungkin berwajah baru kali ini dan masih mempunyai
kelebihan gelanggang sendiri untuk dipertaruhkan ke atas Malaysia.
``Ketika Kejohanan AFF lalu,
kami hanya menang 2-1 biarpun lawan masih baru tetapi lumrah dalam apa juga perlawanan,
apa juga kelebihan lawan tidak boleh dijadikan alasan untuk kami menyerah,''
kata bek tengah kelahiran Sipitang, Sabah.
Malaysia akan memulakan kempen
acara bola sepak Sukan SEA Ke-23 ini dengan menentang Kemboja, esok. - Mingguan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4jKGbqEm3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan